MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Monday, 29 October 2012

Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku Yang Hangat : Islam dan Budaya dalam “Wali Songo, Perjuangan dalam Dakwah Islam” (Bahagian 1)



“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”
 (Hamka)

Nah, ayuh kali ini kita terbang di sekitar Nusantara pula. Mari kita memejamkan mata seketika, dan membayangkan, bagaimana corak dan cara agama Islam, tiba di daerah kita dengan penuh bergaya.  Saat saya di bangku sekolah, saya benar- benar tidak menyangka bahawa kitab karangan Tun Seri Lanang, Sulalatus Salatin itu punya begitu banyak sekali rahsia besar, termasuklah sejarah penyebaran Islam di rantau Melayu ini.
Ya, kalau kita membuka kembali lembaran buku teks sejarah (saya sangat mengantuk sewaktu guru sejarah membacakan fakta-fakta di dalam kelas), maka kita akan menjumpai fakta beku, bahawasanya Islam tiba di daerah kita ini, dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang. Batu Bersurat tersebut ditemui oleh As Sayid Hussein Al Ghulam Bukhari pada 1320 Hijrah, bersamaan 1902 Masihi sewaktu beliau memudik hulu Sungai Terengganu. Fakta tersebut sungguh-sungguh benar tidak mencukupi bagi diri saya. Maka saya menyelongkar semula cerita-cerita yang pernah saya dengar tentang keindahan dan keunikan para Wali Songo yang berjuang memartabatkan Islam di tanah Jawa. Kita harus ingat, bahawasanya di rantau Nusantara ini, kawasan pertama yang menerima Islam adalah Pasai, dengan bukti penemuan batu nisan Sultan Malikul Salleh (Merah Silau – Hikayat Raja Pasai yang diselenggarakan oleh Russell Jones). Aduh, sungguh rahsia besar ini pun dilukis oleh Tun Seri Lanang dalam kitab agungnya itu.
            Sebelum munculnya Islam, kita harus mengakui, bahawa agama Hindhu dengan pengenalan tiga penjurunya – Krisyna, Visynu, dan Siva (lebih 2000 tahun S.M) mendominasi masyarakat Nusantara. Pada tahun 400 Masihi, agama Hindu sudah kuat bertapak melalui wujudnya kerajaan Kutai yang kuat di Kalimantan Timur. Penemuan batu bersurat bertulisan Pallava memungkinkan wujudnya hubungan Kutai di bawah pemerintahan Raja Mulawarman dengan kerajaan India Selatan. Kemudian, Islam tiba penuh bergaya di kawasan kita melalui satu cara yang sangat berbeza dengan kaedah penyebarannya di Timur Tengah. Pertama, sudah tentu kerana Islam merupakan agama yang indah dan sempurna. Sebab kedua mengapa Islam berjaya, adalah kerana globalisasi demografinya yang sempurna (demographic globalization), sesuai untuk semua peringkat.
Lalu apa rahsia ketiga yang menyebabkan pengaruh dan pegangan Hindhu dalam jiwa masyarakat Melayu itu berjaya dinyah terus? Maka saya turunkan rahsianya pada tulisan ini, tidak lain dan tidak bukan adalah budaya, atau kaedah penyebarannya disebut sebagai Islam Tsaqafi. Aneh sungguh pada saat dunia yang semakin pincang pada hari ini, kita menolak budaya sebagai medium penting dalam dakwah. Bahkan ada juga ustaz ustazah menolak terus budaya, dengan alasan bahawa ianya tidak terdapat dalam ajaran Islam. Sungguh betapa kita tidak menguliti sejarah dengan sempurna. M.B Rahimsyah AR. dalam buku terkenal beliau, Wali Songo- Perjuangan dalam Dakwah Islam, menyebut secara terperinci mengenai pertembungan budaya yang berlaku dalam masyarakat Nusantara khususnya pada zaman kerajaan Demak, di bawah pemerintahan Raden Patah. Namun demikian, amat menyedihkan apabila golongan para wali ini tidak sempat membawa Islam ke daerah Kepulauan Bali, hingga saat ini masih kuat berpegang pada ajaran Hindu.


Para Wali ini menggunakan satu bentuk falsafah yang sangat menggugah jiwa, iaitu “Menangkap Ikan Tanpa Mengeruhkan Airnya”. Bagi saya, falsafah tersebut sudah lebih dari cukup untuk meletakkan kedudukan budaya pada tempat yang terpenting. Sungguh benar saya merasakan diri begitu tandus sejarah, dan jiwa menggelegak kacau ingin mengetahui keindahan yang mereka bawa. Allah Maha Kaya, saya bertemu dengan keindahan yang dicari. Betapa saya mengagumi Sunan Ampel dengan konsep Moh Limo nya;
i)                    Moh Main
ii)                  Moh Ngombe
iii)                Moh Maling
iv)                Moh Madat
v)                  Moh Madon
Kelima-lima aspek ini merujuk kepada seruan tidak meminum arak, tidak berjudi, tidak mencuri, tidak mengambil dadah, dan tidak berzina.
Begitu tersentuh saat mendengar kisah Sunan Kudus yang menggunakan Sapi dan Surah Al-Baqarah bagi menarik penganut Hindu agar memasuki masjid. Sunan Bonang dengan bonang dan Tambo Ati nya (ingat lagu ubat hati?) Juga yang paling tidak dilupa, bagaimana Sunan Kalijaga pandai dan mahir berdalang wayang kulit. Begitu asyik sekali bagaimana cara mereka menyelinap memasuki ruang lingkup kehidupan masyarakat.
*****
      Raden Said, merupakan putera Adipati kerajaan Tuban, lahir dalam keluarga bangsawan. Semenjak kecil beliau sudah menunjukkan satu sikap yang aneh, iaitu keluar berjalan-jalan di sekitar kampung, tidak betah tinggal di istana. Pada saat itu, rakyat hidup dalam keadaan yang kelaparan, penyakit merebak dengan pantas, tanaman tidak menjadi, dan cukai tetap harus dibayar. Penindasan ini menjadi pandangan yang sangat memberi kesan besar pada jiwa Raden Said. Apabila dewasa, jiwa anak muda itu mulai memberontak, beliau telah mencuri makanan-makanan dari gudang, dan membahagikannya kepada rakyat miskin yang kelaparan. Beliau akhirnya ditangkap, dan tangan beliau disebat. Namun, hal tersebut masih tidak memberi kesan sedar. Raden Said mengenakan topeng, merompak orang-orang kaya yang tidak membayar zakat. Seluruh Tuban gempar dengan nama perompak yang dipanggil sebagai Lokajaya.
      Lokajaya akhirnya menemuai jalan mati, apakala ada seorang perompak lain yang mengenakan pakaian yang sama dengan beliau. Lokajaya telah dituduh memperkosa seorang gadis, ditangkap dan dibawa ke istana Tuban. Sangat kecewa dengan perilaku anaknya, Adipati Tuban telah menghalau Raden Said keluar, dan ibunya melarang beliau balik ke istana, selagi tidak dapat menggetarkan dinding-dinding istana dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu dibaca beliau.
      Jalan damai bagi Raden Said sebetulnya baru bermula, terdapatnya sebuah kisah sungguh indah, bagaimana beliau telah bertemu dengan Sunan Bonang, dan merayu agar dapat menjadi murid ulama’ tersebut. Sunan Bonang menancapkan tongkatnya di pinggir kali, dan menyuruh agar Raden Said tunggu sehingga beliau datang kembali. Raden Said yang cekal hati akhirnya telah bertapa di pinggir kali tersebut, menunggu sehingga beberapa tahun, sebelum datangnya Sunan Bonang  membangunkan beliau yang berada dalam keadaan  tidak sedar, dengan alunan azan. Maka dari saat itu, Raden Said itu tadi digelar Sunan Kalijaga, atau bermaksud Penjaga Kali (Penjaga Sungai). Hingga beberapa detik selepas itu, Sunan Kalijaga sering mengirimkan bacaan ayat suci Al-Quran buat kedua orang tuanya, yang menggoncangkan istana Tuban.
      Amat terbatas untuk saya mengungkapkan keindahan-keindahan dalam setiap episod perjalanan dan usaha dakwah para wali, dalam lembaran yang sangat sesempit ini. Apa yang ingin benar saya sampaikan, adalah supaya kita kembali kepada akar budhi dan daya yang dianjurkan oleh Buya Hamka suatu masa dahulu. Budhi boleh ditakrifkan sebagai cahaya atau sinar yang terletak dalam batin seseorang insan, manakala daya pula bermaksud keupayaan atau usaha manusia melaksanakan sesuatu dengan anggota yang digerakkan oleh budhi. Perumus teori dari Amerika, E.B. Taylor, menyebut bahawa kebudayaan adalah satu jalinan yang meliputi aspek pengetahuan, kepercayaan, susila, dan adat dalam sesebuah masyarakat termasuklah dalam aspek politik. Pandangan dan pendapat ahli sejarawan ini bermaksud budaya tidak hanya meliputi adat, kerana budaya itu bersifat universal, namun dipraktikkan dalam bentul glokal. Suatu kontradiksi interpretasi yang memerlukan pandangan daripada semua pihak.  
(Bersambung...)

No comments:

 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk