Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku yang Hangat : Ilmu dan Sumber Ilmu dalam “Tuesday With Morrie"
“Kebijaksanaan bukan merupakan produk dari sekolah, tapi dari usaha seumur hidup untuk mendapatkannya.”
-Albert Einstein-
Mari sebentar kita mengalihkan sorot pandang ke dunia barat. Kerna mata lahir dan mata hati yang disatukan oleh mata akal lazimnya tidak memencilkan sudut ilmu, apatah lagi mengasing-asingkannya mengikut benua. Dunia falsafah dalam kaca mata sejarah merakam pelbagai peristiwa, lantas menjadi cerminan budaya masyarakat yang menyalahertikan peradaban. Ya, hasilnya jelas, pertembungan fikrah, timur-barat, skeptikal, kejumudan ilmu, dan senarai-senarai ini menghalang taujih dalam kehidupan manusia.
Philo (Cinta) dan Sophos (Hikmah) tidak digabungkan dengan baik oleh mereka yang merenung ilmu dan sumber ilmu yang meluas tafsirannya. Ini hanya pandangan peribadi. Hujah saya, dalam teori ilmu atau disebut sebagai epistemologi, teori ontologi (keagamaan) dan aksiologi (nilai) terpisah jauh. Bahkan sedikit usaha untuk membawa pertindihan, akan menyebabkan berlakunya letusan dan bergeselan pendapat yang besar. Di sini dapat kiranya kita renung secara mendalam, di manakah letaknya sophos dalam diri seorang manusia – diri kita sendiri. Sekadar membataskannya kepada sumber ilmu (episteme), aliran Rasionalisme yang dipelopori oleh Heraclitus – Kemuncaknya pada zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, sentiasa bertelingkah dengan fahaman Eperisisme (Tokoh: Epicurus). Mungkin dalam benak pembaca saat ini menyatakan, bahawa hal-hal sedemikian ini tiada kaitan langsung dengan dunia Islam. Andai saya punyai kelapangan masa, ingin sahaja saya panjangkan mengenai tokoh besar Immanuel Kant yang menceduk teori skeptik Al-Ghazali. Mungkin tuan-tuan boleh menyelak kembali pertembungan pemikir-pemikir Islam (polemic) seperti : Al-Ghazali- Ibnu Sinar, Al-Farabi yang menyokong rasionalisme (terbatas) dalam kerangka metafizik. Mungkin ianya akan dicoret di lain waktu.
Selamat datang diucapkan kepada pencinta ilmu. Tidak ada cara lain untuk kita mngerti selain belajar dan bertanya. Saya masih ingat lagi, bagaimana berlakunya kejutan budaya saat awal menjejakkan kaki di medan ilmu ini. Ya, untuk hidup sebagai manusia hebat, kata guru saya, bukanlah dinilai oleh pandai bodoh seseorang manusia, tetapi sejauh mana dia mampu berfikir dan membawa dirinya dengan baik di pelbagai tempat. Kalau di sekolah dahulu, untuk tidur di dalam kelas merupakan sesuatu yang ‘haram’, paling tidak akan dibaling dengan pemadam papan hitam. Akan tetapi disini, saya terkejut apabila ada mahasiswa dengan senang hati tidur secara gotong royong di belakang kuliah (yang pelajarnya hampir 100 org), dan yang lebih dahsyat, pensyarah membiarkannya. Hidup kita sendiri-sendiri di sini. Untuk ponteng kuliah, itu hal sendiri. Untuk mendapatkan nota daripada rakan perempuan yg rajin menyalin tanpa jemu (meski tidak faham apa yang disalin –robot), itu sendiri-sendiri. Untuk belajar semata-mata mengejar anugerah dekan, meski jadi kurang bijak urusan ilmu tersirat, itu urusan diri sendiri. Untuk bangun lewat dan terlepas kelas, atau tidak pandai mengurus wang ptptn, itu juga urusan sendiri-sendiri.
Mitch Albom dalam sebuah bukunya yang bertitik tolak dari sebuah kisah benar, amat menggugah deria fikir saya. Tuesday With Morrie, buku yang santai tetapi benar-benar diisi oleh sumber ilmu seperti ratio, emperis, konformis, dan intuisi (saya mulakan dengan sebuah buku yang santai). Kisahnya mudah, mengenai Mitch, seorang penulis dan jurnalis hebat Amerika, tetapi merasakan sebuah kekosongan dalam hidup, malah menghadapi pelbagai masalah. Lantas dia kembali menemui pensyarah lamanya, Prof. Morrie, yang sedang menanti saat untuk mati. Mereka kembali berjumpa setiap selasa, berbincang dan berbual mengenai erti hidup. Mereka bertukar kisah, bagaimana Morrie yang lahir dari keluarga miskin, dan harus bekerja seawal usia kanak-kanak, mampu menjadi seorang Profesor yang penuh berfalsafah. Bagaimanakah cara kita menghadapi kematian? Menghubungi sanak saudara meminta maaf? Atau mengutus surat kepada teman lama, menceritakan bagaimanaa cara kita menghadapi sisa-sisa hidup yang berbaki? Mitch akhirnya belajar untuk menghargai hidup. Malah mengerti, bahawa tingkap yang terbuka untuk kita memerhati dunia luar, begitu besar harganya bagi mereka yang lumpuh, tidak mampu bergerak. Profesor Morrie mengalami perubahan fizikal sedikit demi sedikit, daripada mampu bercakap, menjadi kabur pertuturannya. Nafasnya juga semakin sukar, tetapi setiap fasa tersebut dihadapi dengan bersemangat.
"Kadang-kadang, terutama pada sebelah pagi, itulah masa saya meratapi nasib. Saya meraba-raba badan, menggerakkan jari-jemari dan kedua tangan. Dan apa sahaja anggota badan yang mampu saya gerakkan. Saya akan bersedih dan meratapi setiap kali menemui anggota badan yang tidak berfungsi. Saya meratapi kerana proses kematian yang lambat dan menyesakan. Akan tetapi selepas itu saya berhenti bersedih."
(Tuesday With Morrie : 60)
Nah, sekarang, mari kita bandingkan permasalahan yang berlaku di seputar kehidupan harian kita. Mungkin terlalu banyak yang remeh temeh untuk kita tangiskan. Masalah cinta yang kononnya suci, sedang si pelakunya masih belum kering hingus di hidung. Masalah kewangan, teman yang tidak sehaluan, tugasan pelajaran yang tidak pernah usai, kasut yang koyak.....ohh, senarainya tidak pernah habis. Sedang saat kita menangisi permasalahan itu, ada insan lain yang sedang tersenyum, menghadapai kematian. Ya, untuk membuatkan kita tambah syukur dengan nikmat yang diberi Tuhan, maka lihatlah pada mereka yang berada di bawah.
Sedikit saya ambil coretan dari kulit buku yang memenangi anugerah Buku Terlaris Bukan Fiksyen New York untuk tahun 2000.
Bagi seorang manusia, mungkin datuk, guru ataupun rakat sejawat adalah seseorang yang lebih tua, sabar dan bijak, yang memahami mereka sebagai orang muda yang masih tercari-cari mengenai hidup, membantu mereka melihat dunia sebagai tempat yang lebih indah serta memberitahu mereka cara yang terbaik untuk mengharunginya. Bagi Mitch Albom, orang itu adalah Morrie Schwartz, sang guru tua yang pernah menjadi profesornya hampir dua puluh tahun yang lampau. Namun, kesempatan kedua bagi bertemu sang guru ini berlaku pada bulan-bulan terakhir hidup profesor tua itu. Keakraban yang segera hidup kembali di antara sang guru dan murid itu sekaligus menjadi sebuah 'kuliah' bagi menghasilkan sebuah 'tesis terakhir' tentang cara menjalani hidup.Selasa Bersama Morrie ialah sebuah catatan peristiwa orang-orang yang menakjubkan. Mitch Albom berkongsi 'kuliah' berharga daripada Morrie Schwartz bersama semua.
Mungkin, sumber ilmu sebenarnya adalah alam. Kerana sekolah yang sebenarnya bagi seorang pelajar, adalah kehidupan. Selamat berfikir dan mencari sumber ilmu sebenar.
Salam ilmu dari saya...selamat membaca.
No comments:
Post a Comment