MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Showing posts with label Tinta Pena Kelab Iqra'. Show all posts
Showing posts with label Tinta Pena Kelab Iqra'. Show all posts

Hikayat Kijang Berekor Kasturi - Bahagian 2

Sunday, 9 June 2013

 
     Tuan Puteri Shahrizad itu kerjanya angguk-angguk sedari tadi. Mahu sahaja ditempeleng dek Aswad, namun bimbang pula nanti bertambah jadinya cacat. Itulah tuan-tuan, hendak kita peringatkan, jangan sesekali makan sambil bercakap, atau tidur tertunggeng tiada adab, kononnya itu amalan ahli fikir. Dusta semata itu semua. Kerna yang namanya ahli fikir itu tuan-tuan tiada ia angguk-angguk geleng-geleng terkinja dengan leher dikalung rantai entah apa, bagai bangsa kera zaman baru yang kerjanya memanjat kelapa. Bimbang terus nanti andai tuan-tuan ditimpa akan penyakit wahan sebegini rupa.
     “Sungguh Nabi Sulaiman itu seorang nabi yang penuh tinggi budi pekerti. Dilayan sehabis baiklah akan bangsa kijang tersebut, bertambah suka di hati baginda menerima tetamu sedemikian rupa. Baada membai’at baginda, maka pulanglah bangsa kijang itu kedalam hutan sambil masing-masing menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, sebanyak-banyaknya tanda syukur kepada Allah. Tiada bangsa kijang itu menyanyi lagu ‘Kijang Boleh’, yang dilafazkan hanya puji-pujian pada Tuhan Yang Esa.
     Wahai tuanku, ‘sirr’ Allah itu tiadalah dapat diduga oleh sesiapa, begitu andai kasad di hati itu mulia, akan dibalas dengan yang muluk-muluk jua. Dalam perjalanan pulang ke hutan semula, terbitlah suatu bau amat harum merdu, narawastu belum pernah diketemu.  Berpecahlah bangsa kijang mencari punca akan wangian tersebut namun tiada beroleh apa. Lelah mencari, entah bagaimana tersentuh jari seekor kijang kepada ekor sahabatnya yang lain. Dihidu-hidunya dalam-dalam, hingga bertelut dia sujud syukur kehadrat Allah, kerna dianugerahkan oleh Tuhan bauan yang semerbak pada ekor masing-masing.
     Adapun tuanku puteri, hendak ditambah rencah cerita, disebut oleh para ulama’ akan perihal kasturi ini iaitu, wanginya kasturi itu kekalnya ia tiada hilang meski disentuh dek empat puluh orang secara berantai. Masih kekal baunya kasturi itu. Subhanallah.
     Gempar dan pecahlah rimba dek mendengar berita perihal kasturi, masing-masing mengucap tahniah pada bangsa kijang yang dulu kononnya lemah.”
       Tuan Puteri Shahrizad sudah berhenti angguk-angguk, tersenyum simpul sambil berkelip-kelip mata menyebut ‘sesaat mendengar cerita kamu, ana jadi malu lulu lulu.’
     Menggeleng-geleng jualah si Aswad. Sungguh menggedik watak baru Tuan Puteri ini. Sengaja baginda mencabut bunga matahari yang disisip di telinga, dihidu dalam-dalam mencari kasturi barangkali. Sedar bahawa perilakunya diperhati, lantas Tuan Puteri berhenti menghidu dan pura-pura khusyuk kembali.
     “Kita enjoy.” Laung Tuan Puteri Shahrizad tersenyum manis.
     “Maka berita akan hal kasturi itu dapatlah dihidu oleh bangsa kera. Cekatan ketua bangsa kera ini menghimpun akan anak-anak buahnya mahu segera ke istana dengan satu tujuan, satu matlamat, mahu akan kasturi juga. Berdiri ketua bangsa kera diatas busut tinggi, berucap penuh berani.
     “Dengar sini wahai bangsaku, niatkan di hati masing-masing. Tiada mahu kita berekor wangi seperti kaum kijang. Kita mahu lebih daripada itu. Kita mahu lebih. Kita mahu biar punggung kita berbau wangi.” Bersoraklah bangsa kera bersemangat menggila lupa Tuhan lupa dunia.
     Tiba di istana Nabi Sulaiman, maka berbai’atlah bangsa kera ini pada Nabi Sulaiman. Sungguh mulianya baginda, dilayan bangsa kera itu sama sahaja dengan bangsa kijang dahulunya. Tiada pilih kasih, tiada mentor mentee kerna semua itu bakal merosak sahaja nanti.
     Gembiralah dihati bangsa kera tiada kepalang lagi. Dalam cepu fikir masing-masing membayangkan bagaimana gamaknya andai punggung mereka masing-masing itu berbau kasturi semerbak mewangi. Tentu najis mereka juga turut wangi sama, boleh dijual sebagai minyak wangi, meski kandungannya haram najis kera, tentu ramai sekali yang membeli dengan syarat, iklannya haruslah ada seorang adam, dengan wajahnya harus memancar nur kasih.
     Berjalanlah ketua bangsa kera di hadapan barisan penuh megah gagah menunggu masa menghidu bau harum. Nah, telah kita khabarkan tadi prihal hati yang mana sifatnya itu amatlah ajaib, maka timbullah sifat kurang sabar dalam dada naib ketua bangsa kera. Menggumam dia perlahan menyebut-nyebut akan kasturi, tiada tertahan lagi.
      Dadanya berdebur kencang, bagai kencangnya angin ribut meragut segala apa di hadapan. Tiada mahu lagi dia menunggu-nunggu akan bau, sudah tiada sabar lagi. Lagi pula saat itu naib ketua bangsa kera itu menghidap dia akan penyakit resdung, datang iri bersulam dengki dalam hati, tiada mahu kera yang lain mencicip bau kasturi terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
      Kelakuan pelik naib ketua bangsa kera itu tiada apa bena dek sesiapa. Langsung niatnya diperkuat. Dirapatkan kedua belah tapak tangan kiri dan kanan, dikeluarkan akan hanya kedua-dua jari telunjuk sahaja seraya laju sekali dia mencucuk punggung ketua bangsa kera dua tiga kali dalam-dalam. Fikirnya mahu terus bau kasturi itu bocor menyimbah dirinya di belakang.
     Melaung melalaklah akan ketua bangsa kera itu keras amat. Pecah seluruh belantara. Sedang yang lain pula menghidu bau busuk teramat keras dari punggung masing-masing tiada tertahan, hingga semuanya bertebaran lari memanjat pokok sana-sini.”
     Tuan Puteri Shahrizad itu bingkas bangun memasang niat;
     “Selepas ini, tiada lagi beta mahu melulut akan jenama ‘gadis sutera’ lagi. Beta mahu kasturi sahaja.”
Begitulah tuan-tuan telah kita babadkan sebuah hikayat bukan semata tentang kasturi, ada diselit ingatan yang lain andai ada yang sedar tiada nyedar. Akan si Aswad itu, tidaklah tercatit dalam mana-mana buku sejarah, atau buku teks di sekolah-sekolah, bahawasanya telah dianugerah sebidang tanah, beratus ekor kambing ternakan, jua yang paling mahal, dikahwinkan dia oleh Tuan Puteri Shahrizad akan kambing betina istana yang cantik jelita. Itu peri kononnya kambing kacukan pada zaman tuan-tuan yang diberi nama Dolly itu, keturunan Aswad entah yang keberapalah.
     Wallahu a’lamu bis-sawab, wa ilaihil-marji’u wal-ma’ab.

SENYUM ITU SEDEKAH!! =)

Tuesday, 28 May 2013

Sabda Nabi Sollallahu 'Alayhi Wasallam yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman)”.

[Hadis Riwayat Muslim]



Hikayat Kijang Berekor Kasturi Bahagian 1

Friday, 26 April 2013



     Ini cerita anak-anak. Kerna molek sekali anak-anak saat mahu beradu itu didendangkan dengan kisah yang penuh hikmah buat bekal nanti berkunjung ke daerah mimpi. Entah sakit pinggang atau sakit lutut tiadalah kita pasti kerna orang tua hari ini berlagu entah apa-apa sambil memeri cerita tentang patung kayu yang hidungnya konon boleh memanjang sedepa apakala berkata penuh dusta. Sungguh itu datangnya dari barat dunia yang mana isinya tiada lain tiada bukan buat menyesat kerabat. Bimbang sekali kita tatkala besar nanti, saat ketemu teman sepermainan di sekolah yang mana hidungnya mancung meninggi, atau terserempak anak-anak warga Nepal di perkampungan setinggan hadhari, langsung dijerit dengan panggilan Pinochio. Ishh, jadi malu nenek moyang nanti. Inilah mahu kita babadkan sebuah kisah tentang kasturi. Adapun kasturi itu bukanlah yang bertikam mengamuk segala dengan Hang Tuah, akan tetapi kasturi ini tuan-tuan menjadi ia jebat-jebatan, pengubat rasa resah, penghidup hati gundah, kerna wangi-wangian itu tiada lain menjadi ia santapan roh juga buat manusia. Nanti tiadalah dikatakan tolol andai anak-anak kita bertanya dari mana asalnya kasturi. Tiada perlulah kita mereka-reka cerita kononnya kasturi adalah ia sejenis tumbuhan yang ditarik dari alam kayangan setelah seorang anak muda yang berhingus tiada kering, memanjat pohon kacang yang tinggi langit menjulang.
     Ini kisah anak-anak, mahu kita kongsikan buat bapak-bapak jua. Andai ada silap salah kita menggulung lidah, mohon kita berlindung tiada lain kepada Allah sahajalah agar tiada kita mendapat dosa sejelepuk percuma. Terus kita sembahkan sebuah hikayat tentang kijang berekor kasturi, moga-moga dengannya nanti peroleh kita pahala mencurah, dapat kita ke syurga bertemu para nabi.
     Adapun suatu masa dahulu tuan-tuan, terdapatlah sebuah lembah kering kontang, dek kerana tiada hujan sudi menyimbah. Panasnya akan tanah lembah itu hinggakan gagak yang menapak tiada mampu kembali mengepak. Nah disebelah lembah tersebut adalah sebuah negeri yang besar sekali. Hendak diperikan sebesarmana negeri itu tiadalah kita mampu kerna lidah kita ini masing-masing tiadalah sebesar manapun. Cuma yang mampu dikerja dek lidah ini hanya membesar-besar sahajalah. Oleh asbab itu jua ramai sekali akan hamba gemar membesar diri yang hina berbanding membesar Allah yang esa.
     Ini lagi kita menambah, meski negeri itu agam lagi indah, sedih sekali kerna rakyatnya miskin-miskin, botak-botak kepala semuanya. Nun di belah hujung hiduplah seekor kambing putih menyendiri, beruzlah dia tiada mahu menambah dosa membotak-botak kepala dengan alasan kononnya mualaf itu segala salah tiada menjadi punah. Jua tiada mahu dia membuka baju menunjuk pekung di serata dada berjahit huruf ‘S’ yang maksudnya entah apa. Entah ‘S’ itu Syaitan barangkali, na’udzubillah.

Adapun kambing ini ronanya tiada lain, warnanya putih gebu lebih putih dari susu yang putih memutih. Digelar oleh segala rakyat akan kambing putih ini dengan nama Aswad sahaja. Dek kerana melaratnya rakyat, langsung timbul nekad dalam hati nurani Aswad, mahu ia menjadi pengembala kambing biri-biri.
     Maka pada suatu hari yang panas, sedang Si Aswad mengembala di padang yang luas, jauh-jauh dilihat kelibat seorang perempuan berjalan kearahnya malas-malas. Setelah lama memerhati dalam-dalam, ketahuilah oleh Aswad bahawasanya dia itu didatangi oleh Tuan Puteri Shahrizad seorang diri tiada ditandu diiring segala orang istana.
     Duduk Tuan Puteri Shahrizad pada seketul batu besar, sambil tangan memegang kepala, kononnya sudah pusing dek panahan cahaya panas tajam meruncing. Apakala melihat kelakuan dibuat-buat itu lantas melimpas dalam jiwa kecil Aswad akan kata-kata tiada mulia. Terdetik dalam hatinya itu;
     ‘Ada aku kisah!’
     Namun terus sahaja dia beristighfar memohon ampun kepada Tuhan kerana salahnya dia mengungkap kata, meski tiada yang mendengar di dalam dada.  Dihampirinya akan Tuan Puteri Shahrizad itu mengangkat sembah. Dek melihatkan perbuatannya gedik-gedik itu mendapat perhatian, meluap-luap gembira dalam hati Tuan Puteri itu.
     “Ampun tuanku, apa gerangan tuanku bermuram durja. Apa cutikah badut-badut di istana?”
     Terasa diri bagai dicucuk-cucuk dengan lidi.
     “Ish, Maharaja Badut beta cuti. Lagi pula lawaknya entah apa-apa, naik geli beta melihat badut Nepal terkangkang-kangkang sengaja memakai seluar rabak berlubang. Bukan beta tiada bayar gaji buat membeli kain yang baru.”

     “Habis, tuanku melihat aurat lah gamaknya?”

     Langsung terkulat-kulat Tuan Puteri Shahrizad menahan malu.

     “Nanti dituduh pula beta kufur nikmat. Ah, tiada gunanya beta berbasi-basi lagi. Adapun tujuan utama hadir beta ke padang kamu ini Aswad, ingin sekali mendengar cerita kamu. Cerita kamu yang dulu-dulu itu gemar sekali baginda sultan mendengar sebelum beradu. Sampai habis semuanya diperi langsung terlupa hadir kemari.”

     Itulah tuan-tuan sekalian, sungguh manusia itu mudah lupa. Dahulu saat sukar sebelum kaya selalu niatnya mahu menderma, manusia mudah lupa. Dahulu saat sebelum menunai haji selalu berniat melitup kepala, manusia mudah lupa.
     Termangulah Tuan Puteri Shahrizad itu sambil melayang pandang kearah luas padang, langsung bermadah tiada kena bunyinya;
     ‘Indah mata memandang, indah lagi bahu memikul.’
     Tiada dapat ditahan dalam dada Aswad saat itu mahu membantu apa yang daya. Sudah dididik dia sedari kecil muhabat akan kedamaian. Tiada mahu berkesumat. Perlahan dilabuh punggung nan putih disebelah Tuan Puteri yang masygul menyendiri.
          “Marilah tuanku kita peri sesuatu. Kasad kita tiada lain mahu langit terus mendatar, tiada rebah menyembah bumi. Akan tetapi yang mahu digebang ini bukan sebarang kisah, tuanku. Adapun kisahnya itu janganlah dilayangkan pada yang lain, kerna kisah sebegini untuk kita-kita aja, tuanku.”
     Terus Tuan Puteri Shahrizad bangkit, menari terkinja-kinja seperti ungka tiada sedar diri buat seketika. Sudah puas dan datang semput barulah dia menadah tangan ke muka langit menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, beberapa kali.
Menggeleng-geleng kepala Aswad hampir sahaja mahu terteleng. Sungguh perangai Tuan Puteri tiada senonoh. Pendek kata, panjang bicara, boleh sahaja dianggap Tuan Puteri ini menghidap penyakit cacat akal yang kekal dek tabiat yang suka main sandar-sandar. Suara pula kecil macam anak-anak belum tahu belajar.
     “Tuanku, ini mahu kita ingatkan kisah ini kisah kaum kita. Namun janganlah dipandang hina akan binatang kerna binatang itu boleh jadi lebih mulia daripada manusia.”
     Angguk-angguk Tuan Puteri, entah faham entah tidak.
    “Suatu zaman dahalu, lama dahulu, moyang tuanku pun masih belum dilahirkan saat itu. Di dalam rimba nan luas menebal, hidup rukun berbilang bangsa binatang. Maka telah datanglah ketentuan Tuhan, melantik Nabi Sulaiman a.s, sebagai rasul menyampai kebenaran. Besar sekalilah kerajaan baginda itu. Bertebaran berita tersebut sampai kepada segenap lapis hidupan, baik bangsa manusia, baik bangsa jin, juga bangsa haiwan. Sungguh Nabi Sulaiman a.s itu diberikan keistimewaan oleh Allah s.w.t, dapat baginda berbicara dengan haiwan, dapat jua baginda mengarah kaum jin yang sukar dijinakkan.
     Seusai berita diterima, beratur berbarislah bangsa haiwan berkumpul mahu menuju ke istana Nabi Sulaiman a.s, dengan satu niat, menyatakan bai’at, jua menyembah rasa syukur diiring ucapan gembira di hati.
     Adapun tuanku, adalah bangsa kijang dan bangsa kera itu tiada awal mahu menuju ke istana. Terasa di dalam hati bahawa diri sebagai kijang itu tiadalah sebaik mana mahu berhadapan dengan baginda. Sugullah di hati kaum kijang itu, lama sekali memendam hajat dan hasrat mahu ke istana tetapi ditahan.
     Sungguh tuanku, hati itu dinamakan hati oleh Tuhan kerna sifatnya yang berbalik-balik. Ditiupkan oleh Allah kepada hati, terus berubah bangsa kijang sekalian itu mahu menuju ke istana tiada semena-mena. Dalam perjalanan menempuh segala tabal hutan, tiada lain hanyalah mengharapkan agar kedatangan bangsa mereka itu nanti disambut baik oleh baginda Nabi Sulaiman.      
     Seharian berjalan, peluhnya bukan sedikit, puas mendaki cangkat dan bukit. Tiba jualah di istana Nabi Sulaiman.”

Bersambung...

Nasihat Ibnu Qayyim Al-Jauziah

Friday, 12 April 2013

Dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak terurai kecuali menerima kehendak Allah

Dalam hati manusia ada keganasan dan tidak hilang kecuali mendekati Allah

Dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak hilang kecuali seronok mengenali Allah



Dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak tenang serta damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa dengan Allah

Dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak padam kecuali redha dengan suruhan dan larangan-Nya, qada' dan qadar serta sentiasa sabar sehingga menemui Allah

Dalam hati manusia ada hajat dan tidak terbendung kecuali kecintaan kepada Allah dan bermohon kepada Allah

Sentiasa berzikir kepada Allah adalah keikhlasan sebenar kepada Allah. Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia, masih tidak lagi dapat membendung hajat hati hamba itu.

Wednesday, 13 March 2013



Santai Bersama Kelab Iqra'

Tinta Pena Kelab Iqra'

 
 
CABARAN DALAM BERJIHAD
 
 



Tidak ada satu cita-cita dapat dicapai tanpa usaha dan perjuangan. Lebih-lebih lagi apabila usaha dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t. Ia adalah jihad. Sejak dahulu lagi jihad yang menjadi polemik diantara ulama. Jihad dalam Islam bermula dari penyebaran dakwah dan diakhiri dengan peperangan (qital).


Kalimah jihad berasal daripada perkataan Arab “Al-Juhd” yang bermaksud kekuatan. Manakala dari segi istilah pula Jihad adalah bermaksud bersungguh-sungguh dalam mencurahkan segala kemampuan dan tenaga dalam qital memerangi kuffar dan mempertahankan diri dari kejahatan mereka termasuklah menahan serangan mereka dengan jiwa, harta dan lisan. (Abdul Qadir Djaelani,2001)


Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi ke-4, perkataan cabaran dari segi bahasa bermaksud tentangan atau sesuatu yang mencabar. Dari istilah pula, cabaran adalah sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesebuah organisasi itu untuk mencapai matlamatnya.


 
·         Politik
 
Negara yang diredhai Allah s.w.t perlu diwujudkan kerana negara yang sebeginilah yang akan memakmurkan syariat Islam. Bagi mereka yang telah menegakkan dan membela agama Allah s.w.t di muka bumi ini,Allah s.w.t telah berjanji akan membela mereka pula sebagai ganjaran atas usaha mereka itu.
Firman Allah s.w.t :
“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
                                                                                              (Surah Muhammad 47:7)
·      Ekonomi.
 
 Jika kita menyingkap kembali sejarah perjuangan baginda Nabi Muhammad s.a.w, pada perjalanan jihad Nabi dalam berjihad juga mendapat sekatan dan halangan. Namun cabaran seperti ini sedikitpun tidak melemahkan usaha baginda s.a.w serta umat pengikut baginda kala itu. Di mana sewaktu peristiwa hijrah baginda ke Makkah, terlebih dahulu Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda telah berhadapan dengan satu agenda kafir Quraisy saat itu. Dimana puak kafir Quraisy telah menjalankan sekatan ekonomi secara besar-besaran bagi mematahkan semangat ummat Islam untuk terus mentauhidkan Allah s.w.t. Maka dengan itu Allah s.w.t telah menurunkan ayat bagi memulihkan semangat hamba-hambanya yang lemah.
 
Allah berfirman :
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.”
 (Surah Ali Imran Ayat 3:139)
·         Sosial.
Ayuh diselidiki lapangan sosial masa kini, dapat kita lihat bahawa gerakan-gerakan yang berjihad ini terlalu kecil dan sedikit jika dibandingkan dengan golongan-golongan lain seperti golongan artis dan penyanyi yang saban hari semakin terkehadapan dalam kehidupan masyarakat kita. Masalah yang dapat disimpulkan di sini adalah dengan adanya bantuan media massa seperti media elektronik dan media cetak. Hal yang demikian berlaku kerana sokongan daripada media massa seperti ini amat berpengaruh pada masa kini dan pendekatan seperti ini dilihat lebih ‘dekat di hati’ masyarakat. Masakan tidak, sekiranya hari-hari masyarakat kita disajikan dengan hiburan tanpa henti, drama yang melalaikan dan kurang pengajaran di dalamnya. Maka lihatlah pengaruh media massa dalam mencabar usaha jihad yang sedang kita usahakan kini.
         Kesimpulannya, dalam perlaksanaan Jihad, selain memerlukan kebulatan tekad yang utuh, Jihad juga memerlukan ilmu dan keterampilan yang menepati aspek nilai seorang muslim. Oleh yang demikian sebelum melangkah dengan usaha keras dalam berjihad, hendaklah kita mempersiap diri untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam berjihad. Pasti dan pasti setiap apa yang dilakukan kerana Allah ianya akan tercatat pada buku amalan dan akan dihisab oleh-Nya kelak.
 

Thursday, 21 February 2013


-Sabar Atas Kematian Insan Tersayang-

Oleh : Habibatul Mudabbarah Mohd Lutpi
 
Setiap Muslim yang beriman tidak akan lari daripada ditimpa musibah oleh Allah s.w.t. Ujiandan musibah merupakan tanda kasih Allah s.w.t terhadap manusia. Antara musibah yang menimpa manusia yang beriman dan dituntut bersabar ialah kehilangan orang yang disayangi. Sungguhpun kesabaran itu amatlah berat, apatah lagi jika melibatkan kematian  insan tersayang, namun mereka harus menyedari bahawa segala yang berlaku merupakan takdir dan ketentuan daripada Allah s.w.t. Antara tanda kesempurnaan iman seseorang ialah  apabila mereka mengharapkan ganjaran pahala dan bersabar atas musibah yang terjadi, mana-kala marah dan gelisah atas musibah menunjukkan kelemahan iman. Terlalu besar ganjarannya jika seseorang itu bersabar. Sebagai contoh kesabaran seorang  Muslim di atas kematian anak kecil mereka akan menjadi suatu syafaat (mudah mendapat keampunan Allah s.w.t) buat mereka yang menjadi ibu bapanya pada hari akhirat kelak.
 
 
 
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Taala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.”
(at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
 
 
Antara intipati hadis ini ialah apabila keimanan seseorang itu sudah kukuh dan mencapai kedudukan yang istimewa, maka segala kejadian dan musibah yang terjadi akan menjadi kecil pada dirinya. Dia menyerahkan segala yang berlaku kepada Allah s.w.t tanpa merasa bimbang, kecewa dan sedih bahkan menerimanya dengan perasaan yang tenang dan sabar. Dengan erti kata lain, dia redha terhadap qada’ dan tunduk terhadap takdir Allah s.w.t. Inilah sifat yang harus ada pada seorang mukmin yang sebenar.
 
Seringkali kematian insan yang tersayang membawa kepada kedukaan  dan kesedihan. Sekiranya kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, maka belajarlah daripada Rasulullah s.a.w. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Namun baginda tetap bersabar. Setiap kali Rasulullah berasa gundah,    baginda akan mengadukan kesedihannya kepada Allah s.w.t. Contohilah peribadi Rasulullah s.a.w. Sekiranya kamu berasa sedih atas kehilangan insan tersayang, maka sibukkan dirimu. Beribadahlah sehingga kamu letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hatimu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan. Apabila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah al-Quran serta dirikanlah solat. Kelak kamu akan merasai nikmat Islam dan Iman. Wallahu a’lam.
 
 
HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :
Hidup dalam keredhaan Allah.
Hidup dalam kemurkaan Allah.
 

Muwasafat Tarbiyah

Sunday, 30 December 2012


1. Salimul Aqidah-Aqidah yang bersih/suci
Firman Allat Taala yang ertinya: ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS 6:162). Kerana memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.

2. Shahihul Ibadah-Ibadah yang sahih
Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul  صلى الله عليه وسلم   yang penting, dalam satu haditsnya; beliau menyatakan: “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.” Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap ibadah (khusus) haruslah merujuk kepada sunnah Rasul  yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan dan pengurangan dalam hal dasar seperti bilangan rakaat solat fardhu.

3. Matinul Khuluq-Akhlak yang mantap
Allah berfirman yang ertinya: ‘Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar- benar memiliki akhlak yang agung’ (QS 68:4).

4. Qowiyyul Jismi-Fizikal yang sihat
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   bersabda yang ertinya: “Mu’min yang kuat lebih aku cintai daripada mu’min yang lemah” (HR. Muslim).

5. Mutsaqqoful Fikri-Pemikiran yang luas
firman-Nya yang ertinya: “Katakanlah samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” (QS 39:9).

6. Mujahadatun Linafsihi-Bersungguh sungguh dengan diri
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم  bersabda yang ertinya:” Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam)” (HR. Hakim).

7. Harishun ‘ala Waqtihi-Menjaga masa
Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini karena waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah Swt banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya. Kerana itu tepat sebuah semboyan yang menyatakan:
‘Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.

8. Munazzhamun fi Syu’unihi-Tersusun urusan
Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur’an maupun sunnah. Oleh karena itu dalam hukum Islam, baik yang terkait dengan masalah ubudiyah maupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

9. Qodirun ‘alal Kasbi-Berdikari
Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut dengan mandiri/berdikari (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya baru boleh dilaksanakan apabila seseorang memiliki kemandirian, terutama dari segi ekonomi. Tidak sedikit seseorang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi

10. Naafi’un Lighairihi-Bermanfaat bagi orang lain
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   bersabda yang ertinya: “sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR. Qudhy dari Jabir).

~:::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~:::~

Maka dalam proses menetapkan segala muwasafat diatas dalam diri seorang abnaul harakah,al faqir mencadangkan satu metode yang diajar oleh para Ulama bagi kita istiqamah dalam sesuatu perkara.

1)Muahadah- Berjanji dengan Allah untuk melaksanakan sesuatu perkara.

2)Mujahadah- Bersungguh sungguh dalam melaksanakan perkara tersebut.

3)Muraqabah- Menghampirkan diri dengan Allah memohon bantuan dan pertolongan agar dimudahkan pekerjaan tersebut.

4)Muhasabah- Muhasabah adakah telah melaksanakan perkara yang telah di janjikan.

5)Muaqabah- Melakukan denda  untuk  mendisiplinkan diri.

Moga Allah mudahkan kita semua dalam perjalanan ini dan mencukupkan kita dengan sifat sifat yang telah kita sebutkan.

Al Faqir Ilallah al Latif Sunan Al Haramain

Monday, 24 December 2012




“CHECKLIST HADAPI PEPERIKSAAN”

 
 

1.      Betulkan Niat



Niat merupakan perkara yang paling penting apabila melakukan sesuatu perkara. Niat juga menentukan sama ada sesuatu ibadah yang kita laksanakan itu diterima ataupun tidak oleh Allah s.w.t. Bagi seorang pelajar yang cemerlang segenap aspek, mereka meletakkan niat dalam menuntut ilmu, demi mencapai redha Allah s.w.t, dan membantu menegakkan agama Islam. Betulkan niat kita dari awal, bahawa sesungguhnya ujian dan peperiksaan yang sebenar, adalah kehidupan di dunia. Insya Allah, niat yang betul akan memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran, juga hati akan menjadi tenang, serta redha dengan apa sahaja keputusan yang Allah berikan kelak, Insya Allah.

 

2.      Gandakan Usaha


Sesebuah impian dan cita-cita hanya akan menjadi angan-angan kosong sekiranya tidak disusuli dengan daya usaha yang tinggi. Waktu belajar perlulah ditingkatkan, dan perasaan malas harus dibuang sejauh mungkin. Sekiranya kita tidak sukar untuk memahami sesuatu mata pelajaran, maka ikhtiarkan beberapa cara seperti berbincang dengan pensyarah, atau study group.

 

3.      Doa
Doa merupakan senjata bagi seseorang mukmin. Setiap perkara yang dilaksanakan harus dimulai dengan doa, bagi mendapat kemudahan serta ketenangan akal fikiran. Sebelum mengulangkaji pelajaran, pastikan kita berdoa terlebih dahulu, agar dipermudahkan proses hafalan, atau pemahaman. Doakan juga kepada kedua ibu bapa kita. Sekiranya kedua ibu bapa kita masih hidup, mintalah kepada mereka supaya mendoakan kejayaan kita, kerana doa kedua ibu bapa terhadap anaknya yang soleh itu lebih afdhal dan berkat. Jangan lupa, doakan rakan-rakan yang turut sama akan mengambil peperiksaan, serta para pensyarah yang telah bertungkus lumus mengajar kita.

 


4.      Jaga Hubungan dengan Allah s.w.t dan Hubungan dengan Manusia


Jangan sesekali meninggalkan solat lima waktu kerana itu merupakan kunci penting hubungan kita dengan Allah. Banyakkan membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan jiwa. Jauhi daripada melakukan maksiat. Jaga hubungan dengan rakan-rakan, ibu bapa, dan guru-guru. Banyakkan bersedekah, elakkan daripada bertelingkah terhadap sesuatu masalah. Sekiranya kita menghadapi sesuatu masalah, tenangkan diri terlebih dahulu, dan susun kembali jalan penyelesaian yang terbaik.

 

5.      Jangan Meniru

Setiap pasti ingin maju ke hadapan, serta melampaui saingan-saingan yang sedia ada. Akan tetapi, bersainglah secara sihat. Jauhi daripada melakukan peniruan dan pembohongan. Cubalah kita bayangkan, bagaimana susah dan penatnya rakan-rakan kita mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam, sedangkan kita begitu mudah mendapat markah penuh dengan melakukan peniruan dan pembohongan sewaktu peperiksaan. Kejayaan yang terhasil daripada pembohongan tidak akan member keberkatan dalam hidup. Kita akan dihantui dengan perasaan serba salah seumur hidup, malah mungkin Allah akan mnarik nikmat lain yang diberikan kepada kita. Berusahalah dengan jujur dan amanah, sesuai dengan tingkat keupayaan kita, kerana itu adalah diri kita yang sebenarnya.

 

6.      Redha dan Tawakal

Perkara terakhir yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar, adalah redha dan tawakal dengan usaha yang telah dilakukan. Jangan terlalu memikirkan markah atau kegagalan kerana ianya akan mendatangkan kerunsingan pada akal fikiran. Bersyukurlah kerana telah selamat menjawab segala soalan. Sekiranya tidak berjaya menjawab dengan baik, atau mendapat markah yang kurang memuaskan, jadikan perkara tersebut sebagai jambatan untuk kita mendaki dengan lebih tinggi pada masa hadapan. Perbaiki kelemahan yang kita ketahui, serta belajarlah dari pengalaman masa lalu.
 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk