MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Muwasafat Tarbiyah

Sunday 30 December 2012


1. Salimul Aqidah-Aqidah yang bersih/suci
Firman Allat Taala yang ertinya: ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS 6:162). Kerana memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.

2. Shahihul Ibadah-Ibadah yang sahih
Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul  صلى الله عليه وسلم   yang penting, dalam satu haditsnya; beliau menyatakan: “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.” Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap ibadah (khusus) haruslah merujuk kepada sunnah Rasul  yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan dan pengurangan dalam hal dasar seperti bilangan rakaat solat fardhu.

3. Matinul Khuluq-Akhlak yang mantap
Allah berfirman yang ertinya: ‘Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar- benar memiliki akhlak yang agung’ (QS 68:4).

4. Qowiyyul Jismi-Fizikal yang sihat
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   bersabda yang ertinya: “Mu’min yang kuat lebih aku cintai daripada mu’min yang lemah” (HR. Muslim).

5. Mutsaqqoful Fikri-Pemikiran yang luas
firman-Nya yang ertinya: “Katakanlah samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” (QS 39:9).

6. Mujahadatun Linafsihi-Bersungguh sungguh dengan diri
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم  bersabda yang ertinya:” Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam)” (HR. Hakim).

7. Harishun ‘ala Waqtihi-Menjaga masa
Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini karena waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah Swt banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya. Kerana itu tepat sebuah semboyan yang menyatakan:
‘Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.

8. Munazzhamun fi Syu’unihi-Tersusun urusan
Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur’an maupun sunnah. Oleh karena itu dalam hukum Islam, baik yang terkait dengan masalah ubudiyah maupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

9. Qodirun ‘alal Kasbi-Berdikari
Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut dengan mandiri/berdikari (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya baru boleh dilaksanakan apabila seseorang memiliki kemandirian, terutama dari segi ekonomi. Tidak sedikit seseorang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi

10. Naafi’un Lighairihi-Bermanfaat bagi orang lain
Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   bersabda yang ertinya: “sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR. Qudhy dari Jabir).

~:::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~::::~~:::~

Maka dalam proses menetapkan segala muwasafat diatas dalam diri seorang abnaul harakah,al faqir mencadangkan satu metode yang diajar oleh para Ulama bagi kita istiqamah dalam sesuatu perkara.

1)Muahadah- Berjanji dengan Allah untuk melaksanakan sesuatu perkara.

2)Mujahadah- Bersungguh sungguh dalam melaksanakan perkara tersebut.

3)Muraqabah- Menghampirkan diri dengan Allah memohon bantuan dan pertolongan agar dimudahkan pekerjaan tersebut.

4)Muhasabah- Muhasabah adakah telah melaksanakan perkara yang telah di janjikan.

5)Muaqabah- Melakukan denda  untuk  mendisiplinkan diri.

Moga Allah mudahkan kita semua dalam perjalanan ini dan mencukupkan kita dengan sifat sifat yang telah kita sebutkan.

Al Faqir Ilallah al Latif Sunan Al Haramain

Siyesly, memang kena pakai tudung labuh ker ?

Bismillah.

Sudah beberapa kali sebenarnya orang menghubungi saya kerana beberapa video Cik Beah Osem saya yang bertemakan tentang aurat wanita. Dan ada juga yang menaruh rasa kagum di atas perubahan mendadak yang telah saya lakukan dan turut ingin melakukan perubahan yang sama.


"Akak, saya sebenarnya dah lama nak pakai tudung. Tapi takde kekuatan lagi dan tak tau macamana nak mulakan."


Jujurnya, perubahan saya sebenarnya bukanlah mendadak seperti yang disangkakan. Apa yang anda tonton di dalam video Tabarruj itu sebenarnya hanyalah 50% sahaja daripada kisah penghijrahan saya. Seperti yang sudah saya ceritakan di dalam sebuah entri di sini, mula-mula saya berjinak-jinak untuk memakai tudung labuh dan jubah ialah sewaktu saya masih lagi di bangku sekolah menengah. Waktu itu kalau tidak silap, saya berumur 16 tahun, di tingkatan empat.

Seperti kebanyakan orang, saya tidak pernah ke sekolah agamapun. Dan keluarga saya juga biasa-biasa saja. Tetapi di sekolah, subjek kegemaran saya ialah Pendidikan Islam dan saya memang suka melihat perempuan yang memakai tudung labuh dan jubah. Kerana itulah, saya terdorong untuk memakai pakaian yang sama, sampaikan tudung sekolahpun saya sanggup jahit sendiri kerana hendak memakai tudung labuh.

Beberapa tahun juga saya kekal berimej begitu, sampailah ketika usia saya mula menginjak ke angka 22 tahun. Di universiti, pegangan saya mula goyah dan saya akhirnya terperangkap di dalam sawang hijab fashionista. Di TV dan majalah, saya lihat usahkan artis wanita yang bertudung, bahkan ustazah-ustazahpun turut mengenakan mekap, hijab yang berwarna-warni dan dihias cantik hingga kelihatan sangat menarik perhatian.

Waktu itu fikir saya, 'Kalau ostajahpun boleh buat macam tu, takkanlah aku yang 'biasa-biasa' aje ni tak boleh? Takkanlah berdosa kot.'


Begitulah lebih kurang bahagian 50% pertama kisah penghijrahan saya. Dan saya amat bersyukur sebenarnya, bila Allah masih sudi untuk membimbing saya, memberikan saya hidayah buat kali kedua. Alhamdulillah, Allah 'mengajar' saya, definisi menutup aurat yang sebenar itu, saya dapati pada diriseorang muallaf yang baru beberapa tahun mengenal Islam, dan bukannya pada ostajah-ostajah yang telah belajar Islam sejak dari lahir seperti yang terpampang di TV mahupun di majalah.

Namun persoalannya, hendak menutup aurat, memang kena pakai tudung labuh ker??


Definisi & Jenama

Sebelum ini, saya pernah berkongsi sebuah status di laman FB Beah A. yang berbunyi;


Instead of using frasa "tudung labuh", saya sebenarnya lebih suka menggunakan frasa "menutup aurat dengan sempurna" lagi.

Sebab bertudung labuh, belum tentu lagi sempurna. Kadang-kadang tudung besar, tapi transparent, ataupun, melekat dekat dada. Pakai jubah, tapi ikut badan, nampak lekak-lekuk sana-sini. Huhu.

Ada orang yang pakai tudung biasa-biasa aje, tapi dia menutup aurat dengan sempurna, walaupun hanya memakai jeans dan long sleeve.

Beragama, biarlah dengan kefahaman. Bukan dengan jenama.


Ini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja. Boleh jadi betul, boleh jadi juga salah. Kebiasaannya, apabila bercerita tentang menutup aurat, imej seorang ostajah yang memakai tudung labuh sampai ke perut dengan berjubahlah yang akan terlintas di fikiran. Bagi saya, pakaian seperti itu hanyalah sebuah 'jenama' yang telah digunapakai sejak sekian lama hanyalah di Malaysia untuk menggambarkan pakaian yang menutup aurat.

Sedar ataupun tidak, di negara-negara lain selain Malaysia, definisinya berbeza. Jadi, tak acilah kalau kita ambil definisi daripada negara kita sahaja kan? Hmm, jadi apa kata, kita usha definisi menutup aurat di negara-negara lain pula.



 Indonesia. Style lipat tudung yang sungguh 'unik'. Ada beran? Hihi.



 Turki. Penat ke kak?



 Makcik-makcik dari Bulgaria. Comelnyerrr!! XDDD



 Somalia. Anda sanggup pakai begini? Perempuan Malaysia yang dah pakai tudung labuh sampai ke perutpun belum tentu lagi sanggup! Wahahah. Mereka sungguh kool. Saya salute!



Arab Saudi. Sang gagak!



Afghanistan. Mesti kaler biru tao. Hihi. ;DDD



OK, cukuplah study kita sampai di situ. Seperti yang dapat kita lihat di atas, setiap negara atau bangsa mempunyai definisi menutup aurat mereka yang tersendiri. Ada yang pakai tudung tiga segi aje, ada yang sampai ke kaki, ada yang style ninja, dan ada yang nampak kaler biru aje, sebiru langit nan biru. Err....apekah?

Namun, kesemuanya berkongsi kata kunci yang sama iaitu, menutup keseluruhan tubuh kecuali muka dan tapak tangan sahaja. (*Tutup muka hukumnya sunat sahaja.)


Siyes, Saya Nak Tutup Aurat. Tapi Macamana Nak Mula?? 


Sekarang, mungkin anda sudah faham bahawa definisi menutup aurat itu bukanlah bermakna memakai tudung labuh. Tak kisahlah pakai kain kapas ke, seluar jeans ke, hatta kalau hendak pakai kotak sekalipun boleh, janji menutup aurat dengan sempurna (tutup ya, bukan balut!).

Tapi, bagi yang baru hendak mencuba-cuba menutup aurat, tentu susah kan hendak melatih diri? Rasa malu, segan, dan rendah diri pasti ada. Maklumlah, sebelum ini asyik melawa aje. Lepas ini kalau pakai tudung tutup dada, dah tak pakai mekap, rupapun dah nampak macam ostajah, mesti dah tak ada orang nak mengorat kan. Dahlah tak kahwin lagi. Hai, rugi rugi... Hihi..

Bagi saya, sebenarnya tak perlu berubah secara mendadak. Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah kenapa kita perlu menutup aurat? Umum sudah mengetahui, berbanding dengan lelaki, perempuan adalah makhluk yang sangat cantik kejadiannya. Lirik matanya, suaranya, senyumannya, cara berjalannya, semuanya cantik dan menarik.

 Cuba tengok ini, lelaki; walau dimekap dengan alat mekap cap MAC atau Maybelline 
sekalipun, tetap buat orang muntah hijau berbakul-bakul! Ah, tak lalu!


Memakai mekap, sebenarnya ia memberi tanda bahawa orang itu sebenarnya tidak yakin dengan dirinya sendiri. Kalau lelaki boleh keluar rumah tanpa mekap, kenapa pula tidak perempuan? Kalau lelaki boleh nampak hensem dengan hanya berkain pelekat dan berbaju Melayu, kenapa pula perempuan tidak boleh nampak cantik dengan hanya berbaju kurung? Its just that 'thing' in our mind only.

Jadi, belajarlah untuk mengenali keistimewaan diri sendiri, dan belajarlah untuk menghargainya. Kerana biasanya, apabila kita menghargai sesuatu, secara otomatik kita akan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Apabila tiada rasa penghargaan itu, membuatkan kita melakukan yang sebaliknya.

Seterusnya, bergaullah dengan orang-orang yang penampilan dan akhlaknya lebih baik dari kita. Perhatikan mereka. Jadikan mereka idola kita. Tanamkan di dalam hati, suatu hari, aku mesti jadi macam dia juga. Kalau dia boleh berada di khalayak dengan penuh yakin di dalam pakaian yang menutup aurat begitu, kenapa pula tidak aku? Cabarlah diri sendiri.

Juga, selalulah bertaubat dengan meminta ampun daripada Allah. Kerana, hati yang hitam dihijab oleh dosa, tidak mungkin hidayah akan masuk ke dalamnya. Mungkin kita tidak mampu untuk bangun bermunajat di malam hari, tapi carilah waktu untuk melakukan solat sunat taubat di siang hari. Hanya dua rakaat seharipun sudah memadai. Berdoalah dengan bersunggguh-sungguh kepada Allah. 

Gantungkan harapan kepadaNya setinggi bintang di langit, dan rendahkanlah hati serendah mutiara di dasar laut.


'Ya Allah, aku ingin sekali untuk mengikuti syari'atMu. Namun aku terlalu lemah ya Allah. Aku tak kuat. Aku tidak faham ya Allah. Aku mohon Kau berilah aku petunjukMu. Temukan aku dengan orang-orang yang boleh membimbingku. Tolong aku ya Allah. Aku tak sanggup untuk masuk nerakaMu di atas kejahilanku ini. Berilah aku kekuatan. Tolonglah ya Allah.'



Cubalah untuk istiqomah di dalam berdoa dan bertaubat kepada Allah terlebih dahulu. Dekati teman-teman yang solehah. Hadiri majlis-majlis ilmu dan carilah bahan-bahan bacaan yang boleh membantu kita di dalam menambahkan kefahaman kita. InsyaAllah, hanya dengan sebuah keazaman yang teguh sahajalah, kita mampu mengubah diri kita sendiri. Kekuatan itu pasti akan datang.

"...Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang kembali kepadaNya (dengan taat)." [42:13]


Sebelum saya meletakkan kalam, saya ingin sekali meninggalkan anda dengan sebuah analogi ini. Apabila kita ingin membeli kasut di supermarket, biasanya kita mesti akan meminta a fresh pair of shoes from the closet kan? Jarang kita membeli kasut display, melainkan jika sudah kehabisan stok. Kenapa ya, kita tak mahu membeli kasut display? Kerana ia telah 'lunyai' dicuba oleh banyak kaki, berbeza dengan kasut baru yang tersimpan kemas di dalam kotak di stor. Ia terjaga rapi, bersih, dan wangi.

Jadi, jika kasutpun kita pilih yang tersimpan di dalam kotak, kenapa pula diri kita yang jauh lebih mulia daripada sepasang kasut di kaki ini, kita biarkan 'lunyai' dinikmati oleh mata-mata sang lelaki dengan sewenang-wenangnya? Haa, cemane nak jawab tu??

Selamat berfikir dan beramal! ;)))
#suratcintarabiah.blogspot 

-Nazihah-

Monday 24 December 2012




“CHECKLIST HADAPI PEPERIKSAAN”

 
 

1.      Betulkan Niat



Niat merupakan perkara yang paling penting apabila melakukan sesuatu perkara. Niat juga menentukan sama ada sesuatu ibadah yang kita laksanakan itu diterima ataupun tidak oleh Allah s.w.t. Bagi seorang pelajar yang cemerlang segenap aspek, mereka meletakkan niat dalam menuntut ilmu, demi mencapai redha Allah s.w.t, dan membantu menegakkan agama Islam. Betulkan niat kita dari awal, bahawa sesungguhnya ujian dan peperiksaan yang sebenar, adalah kehidupan di dunia. Insya Allah, niat yang betul akan memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran, juga hati akan menjadi tenang, serta redha dengan apa sahaja keputusan yang Allah berikan kelak, Insya Allah.

 

2.      Gandakan Usaha


Sesebuah impian dan cita-cita hanya akan menjadi angan-angan kosong sekiranya tidak disusuli dengan daya usaha yang tinggi. Waktu belajar perlulah ditingkatkan, dan perasaan malas harus dibuang sejauh mungkin. Sekiranya kita tidak sukar untuk memahami sesuatu mata pelajaran, maka ikhtiarkan beberapa cara seperti berbincang dengan pensyarah, atau study group.

 

3.      Doa
Doa merupakan senjata bagi seseorang mukmin. Setiap perkara yang dilaksanakan harus dimulai dengan doa, bagi mendapat kemudahan serta ketenangan akal fikiran. Sebelum mengulangkaji pelajaran, pastikan kita berdoa terlebih dahulu, agar dipermudahkan proses hafalan, atau pemahaman. Doakan juga kepada kedua ibu bapa kita. Sekiranya kedua ibu bapa kita masih hidup, mintalah kepada mereka supaya mendoakan kejayaan kita, kerana doa kedua ibu bapa terhadap anaknya yang soleh itu lebih afdhal dan berkat. Jangan lupa, doakan rakan-rakan yang turut sama akan mengambil peperiksaan, serta para pensyarah yang telah bertungkus lumus mengajar kita.

 


4.      Jaga Hubungan dengan Allah s.w.t dan Hubungan dengan Manusia


Jangan sesekali meninggalkan solat lima waktu kerana itu merupakan kunci penting hubungan kita dengan Allah. Banyakkan membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan jiwa. Jauhi daripada melakukan maksiat. Jaga hubungan dengan rakan-rakan, ibu bapa, dan guru-guru. Banyakkan bersedekah, elakkan daripada bertelingkah terhadap sesuatu masalah. Sekiranya kita menghadapi sesuatu masalah, tenangkan diri terlebih dahulu, dan susun kembali jalan penyelesaian yang terbaik.

 

5.      Jangan Meniru

Setiap pasti ingin maju ke hadapan, serta melampaui saingan-saingan yang sedia ada. Akan tetapi, bersainglah secara sihat. Jauhi daripada melakukan peniruan dan pembohongan. Cubalah kita bayangkan, bagaimana susah dan penatnya rakan-rakan kita mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam, sedangkan kita begitu mudah mendapat markah penuh dengan melakukan peniruan dan pembohongan sewaktu peperiksaan. Kejayaan yang terhasil daripada pembohongan tidak akan member keberkatan dalam hidup. Kita akan dihantui dengan perasaan serba salah seumur hidup, malah mungkin Allah akan mnarik nikmat lain yang diberikan kepada kita. Berusahalah dengan jujur dan amanah, sesuai dengan tingkat keupayaan kita, kerana itu adalah diri kita yang sebenarnya.

 

6.      Redha dan Tawakal

Perkara terakhir yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar, adalah redha dan tawakal dengan usaha yang telah dilakukan. Jangan terlalu memikirkan markah atau kegagalan kerana ianya akan mendatangkan kerunsingan pada akal fikiran. Bersyukurlah kerana telah selamat menjawab segala soalan. Sekiranya tidak berjaya menjawab dengan baik, atau mendapat markah yang kurang memuaskan, jadikan perkara tersebut sebagai jambatan untuk kita mendaki dengan lebih tinggi pada masa hadapan. Perbaiki kelemahan yang kita ketahui, serta belajarlah dari pengalaman masa lalu.


BICARA MUSLIMAH

"Kedudukan Wanita Menurut Perspektif Barat"


   

Secara umumnya, emansipasi wanita merupakan satu bentuk perjuangan daripada kaum wanita dalam menuntut layanan dan kesamarataan, serta membebaskan diri daripada kongkongan adat resam yang menyebabkan kaum wanita dilihat lebih lemah dalam segenap aspek kehidupan, berbanding kaum lelaki. Sebelum kedatangan kuasa barat, istilah ‘pembebasan wanita’ ini dilihat agak asing dalam kamus hidup masyarakat Melayu yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sedikit demi sedikit idea kebebasan ini semakin radikal, lantas meracuni pemikiran kaum wanita, menyebabkan timbulnya satu keinginan untuk turut sama bangkit menjadi wanita hebat sebagaimana yang dilaungkan oleh wanita-wanita barat.
 
Berbeza dengan pandangan Islam, sejarah mengenai layanan buruk terhadap wanita terselindung disebalik keagungan dan kemegahan Tamadun Rom dan Greek suatu masa dahulu. Kaum wanita pada saat ini diberi hak sepenuhnya oleh penjaga sama ada suami, ayah atau datuk (Peter \Families). Penjaga tidak mempunyai hak yang terbatas dan bebas melakukan apa sahaja terhadap wanita yang dijaganya. Kaum lelaki bebas mengurung wanita, meyeksa atau menjualnya pada kadar yang tertentu bagi kepentingan mereka. Menurut Profesor Dr Ali Abdul Wahid Wafi dalam kitabnya ‘Al Mar atu fi Al Islam’, wanita di barat pada suatu masa dahulu boleh dipindah milik daripada bapa kepada anaknya.

Kitab Yahudi yang terkenal ‘Safr Al Khuruf’ menjelaskan seorang bapa atau penjaga yang miskin dan susah boleh memperdagangkan anaknya dengan kumpulan hamba. Dalam kitab ‘Thalmud’ pula, seseorang wanita tidak boleh mengadu kepada sesiapa meskipun suaminya melakukan hubungan dengan wanita lain di dalam rumah mereka sendiri. Lalaki Yahudi juga dikatakan dibenarkan melakukan apa sahaja kepada isterinya kerana sudah menjadi hak milik dan tuan kepada wanita tersebut. Di Greek pula, kedudukan wanita berada di tahap paling hina dimana mereka bukan sahaja tidak diberi hak bagi mendapatkan beberapa kemudahan, sebaliknya hak-hak kemanusiaan mereka yang lain juga tidak diberikan oleh kaum lelaki pada ketika itu. Perkara ini telah disebut oleh Profesor Dr. Mustafa Al Saba’i dalam kitab beliau yang bertajuk ‘Al Mar atu baina al Fiqh wa al Qanun’ bahawa selain boleh dijual beli seperti barang dagangan, wanita juga tidak diberi hak untuk mendapatkan tempat tinggal, makanan, minuman, dan pakaian bahkan tidak diberikan hak untuk membantah.




    

Pada hari ini, perkara tersebut masih diteruskan dalam medium yang tidak nyata dan moden. Wanita masih lagi menjadi simbol seks, atas tiket kebebasan berfikir masyarakat barat. Amat malang sekali kerana mereka tidak merujuk ‘feminisme’ yang sebenarnya seperti yang digambarkan dalam Islam. Feminisme di barat dilihat merugikan wanita dalam banyak sudut dan mereka hanya mendapat beberapa kemudahan yang sedikit tetapi tidak disedari oleh mereka bahawa mereka ditindas oleh kebebasan tersebut. Segala aspek gaya kehidupan wanita barat diterima bulat-bulat tanpa mepedulikan sama ada ianya bercanggah dengan Islam serta adat masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak sekian lama

Meskipun zaman penjajahan sudah lama berakhir apabila sesebuah negara itu mencapai kemerdekaan, namun jelas masih terdapat lagi sisa-sisa penjajahan yang masih bertapak kukuh dalam fikiran masyarakat tempatan. Penjajah fikiran dan ideology yang berlaku pada hari ini ternyata jauh lebih member kesan kepada budaya bangsa dan ajaran agama. Atas tiket globalisasi, masyarakat terjebak tanpa disedari terhadap anasir-anasir luar atau neokolonialisme yang semakin pantas meledak, seiring kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.

Justeru, antara pendekatan terbaik untuk mengatasi permasalahan tersebut adalah, masyarakat harus kembali mendekatkan diri kepada akar tradisi dan kebudayaan Melayu itu sendiri, di samping menjadikan ajaran agama Islam sebagai panduan utama kehidupan seharian. Adat budaya dan ajaran agama Islam, sebetulnya telah menjadi benteng yang paling utama sejak zaman dahulu lagi, apabila penjajah terpaksa menggunakan jalan peperangan bagi mengeksploitasi hasil bumi tempatan. Pun begitu, perkembangan budaya kuning atau dakyah agama Kristian, dilihat tidak dominen meskipun penjajah sudah bertapak beberapa lama. Hal ini disebabkan pihak penjajah tidak mampu menyekat jati diri masyarakat Melayu-Islam yang begitu kukuh mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh, menolak segala bentuk penjajahan minda.

Keberkesanan kolonial menyekat gerakan Islah dari timur tengah daripada terus berkembang, adalah satu period yang amat merugikan penduduk tempatan. Para orientalis barat dengan bersungguh-sungguh mencari ruang-ruang lompong untuk diisi dengan semangat songsang yang mengagungkan dunia barat. Penjajahan minda dan fahaman-fahaman lain dilihat terus berkembang tanpa disedari, menyelinap masuk ke dalam segenap aspek kehidupan seharian, termasuklah fahaman emansipasi wanita.

Sunday 23 December 2012




SECAWAN TEH DINGIN, SEBUAH BUKU YANG HANGAT : 

"Nota hati seorang lelaki"


“Carilah sesuatu yang luar biasa di sebalik buku yang biasa-biasa ini!”
- Ust. Pahrol Mohd. Juoi. -


Seusai sampai di rumah, terus saya mencapai pena biru menconteng beberapa huruf melambangkan singkatan nama saya pada kulit dalam buku ini. Tidak lupa ditulis tarikh dan juga tempat saya membelinya. Buku hebat yang berjaya menambat nafsu saya yang selalu ketandusan kata-kata tarbiyah dari penulis kegemaran ini, Ustaz Pahrol! Buku yang tidak terlalu tebal (265 muka surat) membuatkan saya yakin saya mampu untuk menghabiskan pembacaan lantas menghadam segala isi dalamnya.

            Melihat tajuknya sahaja, buat hati ini tertarik. Bila membaca sinopsis di belakang pula membuatkan jasad ini terus menggenggam buku tersebut dan melangkah menuju ke kaunter bayaran. Saya sangat nak tahu tentang hati seorang lelaki. Almaklumlah hari-hari saya memang selalu bersama insan bernama lelaki. Baik seorang ayah, empat orang abang, tiga orang abang ipar, rakan sekuliah jangan ceritalah ramainya ye tak? Cantik susunan yang dipersembahkan oleh penulis. Saya betul-betul memujinya. Penulis telah membahagikan isi buku kepada empat kategori. Pertama : Nota Hati Seorang Anak (lelaki). Kedua : Nota Hati Seorang Suami. Ketiga : Nota Hati Seorang Ayah. Keempat : Nota Hati Seorang Da’ie.

Memetik salah satu daripada kisah yang ada, penulis telah menceritakan dimana seorang anak lelaki itu sering pulang ke kampung menjenguk kedua ibu bapanya. Namun di situ diceritakan bahawa ayah kepada anak lelaki tersebut sering meminta duit daripada anak lelaki tersebut.

“Ada duit tak? Minta ayah sedikit….” Namun, disebalik kesempitan hidup anak lelakinya yang masih dalam proses membina keluarganya itu masih sedia menghulur meskipun hanya sekeping not hijau bernilai RM 5 kepada ayahnya. Namun dia tetap berasa tidak sedap kerana hanya mampu menghulur sejumlah kecil sahaja kepada ayahnya. Maklumlah, anak-anaknya masih kecil, pulang ke kampung pun hanya cukup-cukup duit tambang sahaja. Hal ini telah di adukan pada ibunya, lantas ibunya membalas “Berikan saja..”. walaupun hatinya serba salah dihulur juga meskipun jumlahnya tidak seberapa.

            Lama kelamaan pada pemerhatiannya, setiap kali sebelum dia pulang bapanya akan memulangkan semula not hijau pemberiannya tadi dengan menyelitkan wang itu ke dalam saku baju anaknya. Malah nilai wang itu telah bertambah!. Dari sekeping kepada dua keping malah kadang-kadang melebihi daripada pemberiannya.

Semakin lama kehidupan anak lelaki tadi semakin kukuh dari segi ekonominya. Tabiat ayahnya masih juga sama, sering meminta duit sekiranya anak lelaki itu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua itu. Malah pada setiap kali dia memenuhi permintaan ayahnya itu, pada setiap kali itu jugalah ayahnya membalas dengan menyelitkan wang tadi dan tambahannya ke dalam poket anak-anaknya. Daripada pemberiannya hanya sekeping RM 5 kepada jumlah yang semakin besar ayahnya tetap melakukan perkara yang sama. Meminta, memulangkan dan kadang-kadang memberi lebih. Syukur pada Allah, dari pada pulang ke kampung menaiki bas sehinggalah sudah berkereta kecil sepadan kemampuannya malah beberapa tahun sesudah itu anak lelaki tadi mampu menukar kepada kereta yang lebih besar dan selesa buat keluarganya.

            Nah, dapat saya rumuskan tentang keberkatan pemberian anak lelaki tadi yang mana akur dengan permintaan ayahnya. Rezeki yang sedikit itu lebih berkat jika dikongsikan kepada yang lain apatah lagi dalam memenuhi permintaan seseorang lebih-lebih lagi ayah kita.

************************************************************



“Seorang anak hanya akan menyedari erti sebenar kasih kedua-dua ibu bapanya apabila dia sendiri mempunyai anak. Jangan sesekali memungkiri kasih kedua-dua ibu bapa yang telah tua, nanti anak-anak akan dewasa dengan memungkiri kasih kita” – penulis.

Sungguh mendalam huraian dan rungkaian yang dipersembahkan oleh penulis. Kadang-kadang saya terpaksa akui bahawa bait kata-katanya buat hati ini menangis dari dalam. Aura keinsafan segera menyelinap ke seluruh rongga kalbu ini. Indah sungguh isinya.       

Nota Untuk Ayah : Hadiah terbaik dari seorang ayah untuk anak-anaknya ialah dengan mencintai ibu mereka. Cintai isteri maka anak-anak akan cintai kita. Jangan sesekali memisahkan antara kasih anak dan ibu, nanti putus pula kasih anak dan bapa!-penulis.

            Kisah kedua yang tertarik untuk saya berkongsi di sini adalah daripada bahagian Nota Hati Seorang Ayah. Kisah berjudul “Kasih Ibu Tidak Boleh Diganti” pada muka surat 93. Kali ini penulis membawa kita menerjah kisah seorang ayah, bersama anak lelakinya yang masih kecil. Ketika mereka berjalan di kawasan pasar pagi, mereka terlihat seekor anak kucing yang lemah dan tidak bermaya. Setelah membuat keputusan, mereka sepakat untuk membawa pulang anak kucing tersebut untuk diberi perlindungan dan keselesaan. Sebelum melangkah masuk ke kereta, datang ibu kucing tersebut dan seekor lagi anak kucing yang mungkin merupakan saudara kucing yang sedang dikendong oleh kanak-kanak lelaki tadi.

 Setelah sedikit berbincang, si ayah lantas membuat keputusan untuk membawa pulang anak kucing yang berwarna kecoklatan tadi. Hal ini kerana kondisi kucing itu lebih lemah dan tidak bermaya jika dibandingkan dengan yang seekor lagi. Meskipun si ibu kucing seakan-akan sedih apabila melihat anaknya dibawa pergi namun, si ibu kucing tetap tidak berdaya membuat apa-apa. Niat si ayah adalah untuk memelihara kucing tadi. Dia mampu sediakan tempat perlindungan yang selesa dan selamat, makanan kucing yang lebih berkhasiat malah penjagaan kesihatan kepada kucing terbabit. Selang beberapa hari, kondisi Si Comel (kucing tadi telah diberi nama) masih dalam keadaan asal. Matanya tertutup, badannya lemah tidak bermaya. Masuk hari ke-4, jam 2 petang, si ayah mendapat panggilan dari anak lelakinya yang menangis, katanya Si Comel telah pun mati.

Apakan daya hayat Si Comel tak panjang. Lantas si anak bertanya kepada ayah. “..ayah rasa, saudara Si Comel tu, mati jugak ke?” dengan yakin si ayah menjawab, “Di rumah yang mewah dengan makanan kucing pun Si Comel mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar…..ayah rasa mati juga.”

Dua bulan berlalu, si ayah dan anaknya kembali ke pasar yang sama. Dalam pada masa itu, terlihat dua ekor kucing. Si ibu, dan si anak. Pastinya itu saudara Si Comel. Ia telah sihat, gemuk dan lincah. Tiba-tiba ayah tadi berasa kesal dengan tindakan dan kata-katanya yang lepas. Ternyata perbuatan dia memisahkan Si Comel dengan ibu kandungnya itu merupakan satu kesilapan yang besar.

Meskipun dalam keadaan serba kekurangan, ibu masih mempunyai aura yang mampu memberikan keselesaan dan rasa selamat pada anak. Itu baru binatang, apatah lagi kita manusia yang berakal ini. Kasih ibu itu tiada pengganti. Si ayah benar-benar malu dan insaf dengan perbuatannya. Dia akui tindakkan memisahkan anak kucing tadi bukanlah sesuatu yang resional. Lantas si ayah berkata kepada anak dan isterinya “Hadiah terbaik seorang ayah kepada anaknya ialah dengan mencintai ibu kepada anak tersebut..siapa lagi kalu bukan isterinya!”

Dalam petikan kisah ini menceritakan bahawa betapa si ayah tadi tidak mampu menggantikan kasih seorang ibu, walaupun hanyalah kepada seekor kucing. Betapa kemewahan, keselesaan dan kesempurnaan itu kadang-kadang tidak boelh menggantikan apatah lagi membeli harga kasih dan sayang seorang ibu kepada anak-ankanya.

Sebak hati ini dengan pendekatan yang digunakan, dengan bahasa yang mudah difahami, makanya maksud penulisan itu sangat cepat dihadam dan meresap ke sanubari. Lagi banyak kisah-kisah yang dibawa oleh penulis dalam mengkategorikan perasaan, nilai dan perspektif dari pada jiwa insan yang bergelar lelaki. Bagi diri ini, pertamanya apabila membaca buku ini saya berasa amat berterima kasih kepada ayah saya terutamanya, berkat susah payah dan penat lelah dia makanya saya masih bernafas dan sempat sampai dan berpijak di bumi UKM ini.

Akhir kalam dngan kesempatan dan ruang yang terbatas, sudah tentu tidak mampu bagi saya meneruskan ulasan buku ini. Tuntasnya, buku ini amat bermakna pada saya, kesannya mendalam bagi kehidupan saya yang lepas juga pada kehidupan yang mendatang kerana hakikatnya Allah s.w.t telah menciptakan Lelaki itu pada sifat dan kekuatanya yang tersendiri di muka bumi ini, seharusnya mereka sedar, faham dan aplikasikan selurunya ini dalam hayatnya. Bahan bacaan ini amat sesuai bagi semua, baik lelaki mahupun perempuan kerana hidup kita saling melengkapi. Untuk lelaki diadaptasi, bagi perempuan biar lebih memahami. Wallahu’alam J
 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk