Bismillahhirrahmaanirrahim,,,,
Sesekali merenung ke
dalam diri, seakan baru terjaga dari mimpi
indah. Ya, mimpi indah yang mengkhayalkan dan melalaikan kita daripada
mengingati Pencipta Rabbul A’lamin. Ah, dunia itu penuh tipu daya, akan tapi
kenapa sukar untuk kita meletakkan akhirat itu di hati dan menjadikan akhirat
yang kekal abadi itu sebagai matlamat hidup? Ya Allah, sesungguhnya mujahadah
itu amat pahit. Ya Rabbi, berikanlah
kekuatan kepada kami untuk terus teguh dilandasan agamaMu dalam mencari mardhotillah
& jannahMu. Insya Allah.
Detik demi detik waktu
berlalu meninggalkan kita. Begitu pantas sekali waktu berlalu tanpa kita sedar.
Pergi dan terus berlalu. Sesungguhnya masa itu amat berharga sekali, tidak bisa
diganti dan diundur kembali. Kerna itulah juga Allah bersumpah dengan masa
seperti yang terakam dalam surah al asr’ yang bermaksud :
“Demi masa. Sesungguhnya
manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan
kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk
kesabaran.”
Sampai begitu sekali
Allah bersumpah dengan masa. Cuba kita muhasabah sejenak, menyendiri daripada
hiruk pikuk kesibukan dunia. Dalam satu hari tu, banyak mana masa yang kita
gunakan sebaik-baik mungkin untuk mengabdikan diri pada Allah? Astaghfirullah.
Betapa lekanya diri ini. Sedangkan dalam solat sendiri pun, semasa kita menghadap
dengan Raja segala Raja, hati kita tetap lalai daripada mengingati Al-Khaliq.
Selalu saja terfikir-fikir “Lepas ni nak buat apa ya?” “Alamak, assignment
belum siap lagi” “Malasnya, kejap lagi ada meeting.”
Dasyatkan? Itu baru
dalam solat, cuba bandingkan dalam
kehidupan seharian kita. Adakah semua amal pekerjaan kita dikaitkan dengan
Allah?
Sungguh dunia itu
penuh dengan keseronokan dan tipu daya. Hanya insan yang betul-betul ikhlas
yang akan sedaya-upaya mengejar cinta
Allah tanpa menoleh kepada dunia. Dunia itu dijadikan sebagai ladang
tanaman untuk dia tuai dan nikmati hasilnya di akhirat kelak. Kerana dia tahu,
dunia ini hanya persinggahan untuk menuju perjalanan yang kekal abadi dan
bertemu dengan Allah dan Rasulullah s.a.w adalah cita-cita tertingginya. Akan
tetapi, syaitan tidak akan sekali-kali berdiam diri. Bahkan akan sedaya upaya
memesongkan anak adam dari landasan yang benar dan mahu mereka sama-sama masuk
ke neraka. Nau’zubillahhi min zalik. Dek kerana itulah, muhasabah diri itu amat
penting walaupun sekejap. Barulah kita sedar siapa diri kita sebenarnya, insan
kerdil yang tidak terdaya untuk mengerdipkan mata sekalipun. Akan tetapi,
memang begitu sifat manusia selalu lupa dan leka. Bila sesuatu nikmat itu hilang, barulah kita
sedar. Alhamdulillah, segala puji bagi
Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang pada tiap-tiap hamba-Nya. Meskipun
hamba-Nya berbuat dosa, tidak dibalas terus, bahkan masih lagi memberi peluang
untuk kembali dan membuka pintu taubat seluas-luasnya. Bahkan Allah akan
menjadi kekasih mereka kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan
mensucikan diri. Subhanallah..
Terkadang kita berasa
lelah dengan ujian yang menimpa diri kita. Sedarilah wahai diri, Allah sedang
mengujimu dan Allah tahu yang kamu mampu hadapinya. Pohonlah pada-Nya agar
diberi kekuatan, bukan untuk menghilangkan ujian tersebut. Bersyukurlah andai
diri diuji kerana itu tandanya Allah ingat dan sayang pada kita, daripada
senang lenang dan lalai bahkan lebih jauh dari Allah. Ketahuilah, Allah telah
merencanakan perancangan yag terbaik buat hamba-hamba-Nya. Apa yang penting,
betulkan niat dan sempurnakan ikhtiar. Insya Allah, Allah akan pimpin hidup
kita, dunia dan akhirat ^___^
No comments:
Post a Comment