MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Monday 29 October 2012

Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku Yang Hangat : Islam dan Budaya dalam “Wali Songo, Perjuangan dalam Dakwah Islam” (Bahagian 1)



“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”
 (Hamka)

Nah, ayuh kali ini kita terbang di sekitar Nusantara pula. Mari kita memejamkan mata seketika, dan membayangkan, bagaimana corak dan cara agama Islam, tiba di daerah kita dengan penuh bergaya.  Saat saya di bangku sekolah, saya benar- benar tidak menyangka bahawa kitab karangan Tun Seri Lanang, Sulalatus Salatin itu punya begitu banyak sekali rahsia besar, termasuklah sejarah penyebaran Islam di rantau Melayu ini.
Ya, kalau kita membuka kembali lembaran buku teks sejarah (saya sangat mengantuk sewaktu guru sejarah membacakan fakta-fakta di dalam kelas), maka kita akan menjumpai fakta beku, bahawasanya Islam tiba di daerah kita ini, dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang. Batu Bersurat tersebut ditemui oleh As Sayid Hussein Al Ghulam Bukhari pada 1320 Hijrah, bersamaan 1902 Masihi sewaktu beliau memudik hulu Sungai Terengganu. Fakta tersebut sungguh-sungguh benar tidak mencukupi bagi diri saya. Maka saya menyelongkar semula cerita-cerita yang pernah saya dengar tentang keindahan dan keunikan para Wali Songo yang berjuang memartabatkan Islam di tanah Jawa. Kita harus ingat, bahawasanya di rantau Nusantara ini, kawasan pertama yang menerima Islam adalah Pasai, dengan bukti penemuan batu nisan Sultan Malikul Salleh (Merah Silau – Hikayat Raja Pasai yang diselenggarakan oleh Russell Jones). Aduh, sungguh rahsia besar ini pun dilukis oleh Tun Seri Lanang dalam kitab agungnya itu.
            Sebelum munculnya Islam, kita harus mengakui, bahawa agama Hindhu dengan pengenalan tiga penjurunya – Krisyna, Visynu, dan Siva (lebih 2000 tahun S.M) mendominasi masyarakat Nusantara. Pada tahun 400 Masihi, agama Hindu sudah kuat bertapak melalui wujudnya kerajaan Kutai yang kuat di Kalimantan Timur. Penemuan batu bersurat bertulisan Pallava memungkinkan wujudnya hubungan Kutai di bawah pemerintahan Raja Mulawarman dengan kerajaan India Selatan. Kemudian, Islam tiba penuh bergaya di kawasan kita melalui satu cara yang sangat berbeza dengan kaedah penyebarannya di Timur Tengah. Pertama, sudah tentu kerana Islam merupakan agama yang indah dan sempurna. Sebab kedua mengapa Islam berjaya, adalah kerana globalisasi demografinya yang sempurna (demographic globalization), sesuai untuk semua peringkat.
Lalu apa rahsia ketiga yang menyebabkan pengaruh dan pegangan Hindhu dalam jiwa masyarakat Melayu itu berjaya dinyah terus? Maka saya turunkan rahsianya pada tulisan ini, tidak lain dan tidak bukan adalah budaya, atau kaedah penyebarannya disebut sebagai Islam Tsaqafi. Aneh sungguh pada saat dunia yang semakin pincang pada hari ini, kita menolak budaya sebagai medium penting dalam dakwah. Bahkan ada juga ustaz ustazah menolak terus budaya, dengan alasan bahawa ianya tidak terdapat dalam ajaran Islam. Sungguh betapa kita tidak menguliti sejarah dengan sempurna. M.B Rahimsyah AR. dalam buku terkenal beliau, Wali Songo- Perjuangan dalam Dakwah Islam, menyebut secara terperinci mengenai pertembungan budaya yang berlaku dalam masyarakat Nusantara khususnya pada zaman kerajaan Demak, di bawah pemerintahan Raden Patah. Namun demikian, amat menyedihkan apabila golongan para wali ini tidak sempat membawa Islam ke daerah Kepulauan Bali, hingga saat ini masih kuat berpegang pada ajaran Hindu.


Para Wali ini menggunakan satu bentuk falsafah yang sangat menggugah jiwa, iaitu “Menangkap Ikan Tanpa Mengeruhkan Airnya”. Bagi saya, falsafah tersebut sudah lebih dari cukup untuk meletakkan kedudukan budaya pada tempat yang terpenting. Sungguh benar saya merasakan diri begitu tandus sejarah, dan jiwa menggelegak kacau ingin mengetahui keindahan yang mereka bawa. Allah Maha Kaya, saya bertemu dengan keindahan yang dicari. Betapa saya mengagumi Sunan Ampel dengan konsep Moh Limo nya;
i)                    Moh Main
ii)                  Moh Ngombe
iii)                Moh Maling
iv)                Moh Madat
v)                  Moh Madon
Kelima-lima aspek ini merujuk kepada seruan tidak meminum arak, tidak berjudi, tidak mencuri, tidak mengambil dadah, dan tidak berzina.
Begitu tersentuh saat mendengar kisah Sunan Kudus yang menggunakan Sapi dan Surah Al-Baqarah bagi menarik penganut Hindu agar memasuki masjid. Sunan Bonang dengan bonang dan Tambo Ati nya (ingat lagu ubat hati?) Juga yang paling tidak dilupa, bagaimana Sunan Kalijaga pandai dan mahir berdalang wayang kulit. Begitu asyik sekali bagaimana cara mereka menyelinap memasuki ruang lingkup kehidupan masyarakat.
*****
      Raden Said, merupakan putera Adipati kerajaan Tuban, lahir dalam keluarga bangsawan. Semenjak kecil beliau sudah menunjukkan satu sikap yang aneh, iaitu keluar berjalan-jalan di sekitar kampung, tidak betah tinggal di istana. Pada saat itu, rakyat hidup dalam keadaan yang kelaparan, penyakit merebak dengan pantas, tanaman tidak menjadi, dan cukai tetap harus dibayar. Penindasan ini menjadi pandangan yang sangat memberi kesan besar pada jiwa Raden Said. Apabila dewasa, jiwa anak muda itu mulai memberontak, beliau telah mencuri makanan-makanan dari gudang, dan membahagikannya kepada rakyat miskin yang kelaparan. Beliau akhirnya ditangkap, dan tangan beliau disebat. Namun, hal tersebut masih tidak memberi kesan sedar. Raden Said mengenakan topeng, merompak orang-orang kaya yang tidak membayar zakat. Seluruh Tuban gempar dengan nama perompak yang dipanggil sebagai Lokajaya.
      Lokajaya akhirnya menemuai jalan mati, apakala ada seorang perompak lain yang mengenakan pakaian yang sama dengan beliau. Lokajaya telah dituduh memperkosa seorang gadis, ditangkap dan dibawa ke istana Tuban. Sangat kecewa dengan perilaku anaknya, Adipati Tuban telah menghalau Raden Said keluar, dan ibunya melarang beliau balik ke istana, selagi tidak dapat menggetarkan dinding-dinding istana dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu dibaca beliau.
      Jalan damai bagi Raden Said sebetulnya baru bermula, terdapatnya sebuah kisah sungguh indah, bagaimana beliau telah bertemu dengan Sunan Bonang, dan merayu agar dapat menjadi murid ulama’ tersebut. Sunan Bonang menancapkan tongkatnya di pinggir kali, dan menyuruh agar Raden Said tunggu sehingga beliau datang kembali. Raden Said yang cekal hati akhirnya telah bertapa di pinggir kali tersebut, menunggu sehingga beberapa tahun, sebelum datangnya Sunan Bonang  membangunkan beliau yang berada dalam keadaan  tidak sedar, dengan alunan azan. Maka dari saat itu, Raden Said itu tadi digelar Sunan Kalijaga, atau bermaksud Penjaga Kali (Penjaga Sungai). Hingga beberapa detik selepas itu, Sunan Kalijaga sering mengirimkan bacaan ayat suci Al-Quran buat kedua orang tuanya, yang menggoncangkan istana Tuban.
      Amat terbatas untuk saya mengungkapkan keindahan-keindahan dalam setiap episod perjalanan dan usaha dakwah para wali, dalam lembaran yang sangat sesempit ini. Apa yang ingin benar saya sampaikan, adalah supaya kita kembali kepada akar budhi dan daya yang dianjurkan oleh Buya Hamka suatu masa dahulu. Budhi boleh ditakrifkan sebagai cahaya atau sinar yang terletak dalam batin seseorang insan, manakala daya pula bermaksud keupayaan atau usaha manusia melaksanakan sesuatu dengan anggota yang digerakkan oleh budhi. Perumus teori dari Amerika, E.B. Taylor, menyebut bahawa kebudayaan adalah satu jalinan yang meliputi aspek pengetahuan, kepercayaan, susila, dan adat dalam sesebuah masyarakat termasuklah dalam aspek politik. Pandangan dan pendapat ahli sejarawan ini bermaksud budaya tidak hanya meliputi adat, kerana budaya itu bersifat universal, namun dipraktikkan dalam bentul glokal. Suatu kontradiksi interpretasi yang memerlukan pandangan daripada semua pihak.  
(Bersambung...)

Seindah Bidadari Syurga , Ainul Mardhiyah


Dalam satu kisah yang dipaparkan Al Yafi’I dari Sheikh Abdul Wahid bin Zahid, dikatakan : Suatu hari ketika kami sedang bersiap-siap hendak berangkat perang, aku meminta beberapa teman untuk membaca sebaris ayat. Salah seorang lelaki tampil sambil membaca ayat Surah At-Taubah : 111 yang ertinya ,

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”

Selesai ayat itu dibaca, seorang anak muda yang berusia 15 tahun bangkit dari tempat duduknya. Ia mendapat harta warisan cukup banyak dari ayahnya yang telah meninggal dunia. Dia berkata : “Wahai Abdul Wahid, benarkah Allah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan syurga buat mereka ?”


“Ya, benar anak muda” Kata Abdul Wahid.

Anak muda itu melanjutkan kata-katanya , “jika begitu saksikanlah, bahawa diriku dan hartaku mulai sekarang aku jual dengan syurga”

Anak muda itu kemudian mengeluarkan semua hartanya untuk disedekahkan bagi perjuangan. Hanya kuda dan pedangnya saja yang tidak disedekahkan. Sampai tibanya waktu keberangkatan pasukan, ternyata pemuda itu datang lebih awal. Dialah orang yang pertama kali kulihat. Dalam perjalanan ke medan perang, pemuda itu kuperhatikan siangnya berpuasa dan malamnya dia bangun untuk beribadah. Dia rajin mengurus unta-unta dan kuda tunggangan pasukan serta sering menjaga kami yang sedang tidur.

Sewaktu sampai di daerah Romawi dan kami sedang mengatur pertempuran, tiba-tiba dia maju ke depan medan dan menjerit : “Hai, aku ingin segera bertemu dengan Ainul Mardhiyah..” Kami menduga dia mulai ragu dan fikirannya terganggu, kudekati dan kutanyakan siiapakah Ainul Mardhiyah itu. Dia menjawab : “Tadi sewaktu aku sedang tidur, selintas aku bermimpi. Seseorang datang kepadaku seraya berkata : “pergilah kepada Ainul Mardhiyah”. Ia juga mengajakku untuk masuk ke taman yang di bawahnya terdapat sungai dengan air yang jernih dan dipinggirnya Nampak para bidadari duduk berhias dngan mengenakan perhiasan-perhiasan yang indah. Manakala pabila mereka melihat kedatanganku, mereka bergembira seraya berkata “inilah suami Ainul Mardhiyah..”


“Assalamu’alaikum” ucapku pada mereka. “Adakah di antara kalian yang bernama Ainul Mardhiyah?” Mereka menjawab salamku dan berkata “Tidak, kami ini adalah pembantunya. Teruskanlah langkahmu”. Beberapa kali aku sampai pad ataman-taman yang lebih indah dengan bidadari yang lebih cantik, tapi jawapannya tetap sama, mereka adalah pembantunya dan menyuruh aku meneruskan langkah.

Akhirnya aku sampai pada khemah yang terbuat dari mutiara berwarna putih. Di pintunya terdapat seorang bidadari yang sewaktu melihat kehadiranku dia kelihatan sangat gembira dan memanggil-manggil yang ada di dalam : “Hai Ainul Mardhiyah, ini suamimu datang..”

Ketika aku dipersilakan masuk, kulihat bidadari yang sangat cantik duduk di atas sofa ema yang ditaburi permata dan yaqut. Sewaktu aku ingin mendekati dia berkata , “bersabarlah, kamu belum diizinkan untuk lebih dekat kepadaku, kerana roh kehidupan dunia masih ada dalam dirimu.” Anak muda melanjutkan kisah mimpinya : “Lalu aku terbangun, wahai Abdul Hamid. Aku tidak sabar lagi menanti terlalu lama.”

Belum lagi percakapan kami selesai, tiba-tiba sekelompok pasukan musuh terdiri daripada 9 orang kesemuanya datang menyerang. Pemuda itu segera bangkit dan melawan. Selesai pertempuran aku cuba meneliti, kulihat anak muda itu penuh dengan luka ditubuhnya. Dia kelihatan tersenyum gembira, senyum penuh kebahagiaan, hingga ruhnya berpisah dari badan untuk meninggalkan dunia.

***

Ingatlah , wanita solehah itu lebih cantik dari bidadari. Ciri-ciri wanita solehah telah pun dirungkaikan dalam artikel terdahulu. Moga wanita cantik yang sedang membaca ini sentiasa berada dalam lindungan rahmatNya dan dipelihara hatinya dengan sifat qanaah dan zuhud seperti Saidatina Aisyah. 


Muhasabah : Ku Termenung Sendirian


Bismillahhirrahmaanirrahim,,,,

Sesekali merenung ke dalam diri, seakan baru terjaga dari mimpi  indah. Ya, mimpi indah yang mengkhayalkan dan melalaikan kita daripada mengingati Pencipta Rabbul A’lamin. Ah, dunia itu penuh tipu daya, akan tapi kenapa sukar untuk kita meletakkan akhirat itu di hati dan menjadikan akhirat yang kekal abadi itu sebagai matlamat hidup? Ya Allah, sesungguhnya mujahadah itu amat pahit.  Ya Rabbi, berikanlah kekuatan kepada kami untuk terus teguh dilandasan agamaMu dalam mencari mardhotillah & jannahMu. Insya Allah.


Detik demi detik waktu berlalu meninggalkan kita. Begitu pantas sekali waktu berlalu tanpa kita sedar. Pergi dan terus berlalu. Sesungguhnya masa itu amat berharga sekali, tidak bisa diganti dan diundur kembali. Kerna itulah juga Allah bersumpah dengan masa seperti yang terakam dalam surah al asr’ yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

Sampai begitu sekali Allah bersumpah dengan masa. Cuba kita muhasabah sejenak, menyendiri daripada hiruk pikuk kesibukan dunia. Dalam satu hari tu, banyak mana masa yang kita gunakan sebaik-baik mungkin untuk mengabdikan diri pada Allah? Astaghfirullah. Betapa lekanya diri ini. Sedangkan dalam solat sendiri pun, semasa kita menghadap dengan Raja segala Raja, hati kita tetap lalai daripada mengingati Al-Khaliq. Selalu saja terfikir-fikir “Lepas ni nak buat apa ya?” “Alamak, assignment belum siap lagi” “Malasnya, kejap lagi ada meeting.”

Dasyatkan? Itu baru dalam solat, cuba bandingkan  dalam kehidupan seharian kita. Adakah semua amal pekerjaan kita dikaitkan dengan Allah?

Sungguh dunia itu penuh dengan keseronokan dan tipu daya. Hanya insan yang betul-betul ikhlas yang akan sedaya-upaya mengejar cinta  Allah tanpa menoleh kepada dunia. Dunia itu dijadikan sebagai ladang tanaman untuk dia tuai dan nikmati hasilnya di akhirat kelak. Kerana dia tahu, dunia ini hanya persinggahan untuk menuju perjalanan yang kekal abadi dan bertemu dengan Allah dan Rasulullah s.a.w adalah cita-cita tertingginya. Akan tetapi, syaitan tidak akan sekali-kali berdiam diri. Bahkan akan sedaya upaya memesongkan anak adam dari landasan yang benar dan mahu mereka sama-sama masuk ke neraka. Nau’zubillahhi min zalik. Dek kerana itulah, muhasabah diri itu amat penting walaupun sekejap. Barulah kita sedar siapa diri kita sebenarnya, insan kerdil yang tidak terdaya untuk mengerdipkan mata sekalipun. Akan tetapi, memang begitu sifat manusia selalu lupa dan leka.  Bila sesuatu nikmat itu hilang, barulah kita sedar.  Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang pada tiap-tiap hamba-Nya. Meskipun hamba-Nya berbuat dosa, tidak dibalas terus, bahkan masih lagi memberi peluang untuk kembali dan membuka pintu taubat seluas-luasnya. Bahkan Allah akan menjadi kekasih mereka kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Subhanallah..


Terkadang kita berasa lelah dengan ujian yang menimpa diri kita. Sedarilah wahai diri, Allah sedang mengujimu dan Allah tahu yang kamu mampu hadapinya. Pohonlah pada-Nya agar diberi kekuatan, bukan untuk menghilangkan ujian tersebut. Bersyukurlah andai diri diuji kerana itu tandanya Allah ingat dan sayang pada kita, daripada senang lenang dan lalai bahkan lebih jauh dari Allah. Ketahuilah, Allah telah merencanakan perancangan yag terbaik buat hamba-hamba-Nya. Apa yang penting, betulkan niat dan sempurnakan ikhtiar. Insya Allah, Allah akan pimpin hidup kita, dunia dan akhirat  ^___^

-MencariHikmah291012-

Nasyid #2

Monday 22 October 2012


Sumayyah

Dalam diri selembut sutra
Kau memiliki iman yang teguh
Kau nyalakan obor agama diri-mu bak lentra
Dibelenggu jahiliah kau tempuh dengan berani
Walau pun jasad-mu milik tuan
Tetapi hati-mu milik Tuhan
Padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
Tika suami dan anak dibaring mengadap mentari
Disuruh memilih iman atau kekufuran
Samar jahiliah atau sinaran akidah

Sabarlah keluarga Yasir
Bagi-mu syurga disana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa mengorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam
Jasad-mu yang tiada bermaya
Namun iman didada-mu sedikit tidak berubah
Darah-Mu menjadi sumbu pelita iman
Sumaiyah kaulah lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Mengoncang dunia mencipta sejarah

Sumaiyah kau dibunuh didunia sementara
Untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
Kaulah wanita terbaik
Sebaik manusia
Nama-mu tetap menjadi sejarah

Buletin Kelab Iqra'

Sunday 21 October 2012



Buletin Kelab Iqra

Pada 27 September yang lepas, satu mesyuarat perlantikan ahli jawatankuasa baru kelab iqra’ Kolej Ungku Omar bagi sesi 2012/2013 telah berlangsung dengan lancar dan jayanya. Selain perlantikan ahli jawatnkuasa baru, sesi mesyuarat tersebut yang telah dipengerusikan oleh saudara Tajul Aiman bin Tajul Anuar, telah menjadi satu medium awal bagi membentuk satu semangat sepasukan dan medan ta’aruf sesama ahli, terutama bagi pelajar-pelajar tahun satu yang baru mendaftarkan diri.
          Hasil pengundian dan kata sepakat seramai hampir 30 orang ahli yang menghadirkan diri pada malam tersebut, maka barisan kepimpinan baru yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab bagi membentuk hala tuju kelab iqra’ adalah seperti berikut:
Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra'
Kolej Ungku Omar
2012/2013
ss
Yang Dipertua
Tajul Aiman bin Tajul Anuar
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Naib Yang Dipertua I
Muhammad Amin bin Shaharuddin
Fakulti Pengajian Islam
Naib Yang Dipertua II
Nur Hidayu binti Halim
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Setiausaha
Izwatul Jannah binti Abd Latif
Fakulti Pengajian Islam
Bendahari
Muhammad Najib bin Mohd Amin
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Naib Bendahari
Nor Azlin binti Arshad
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
gg
Wakil Muslimin
Mohamad Hafiz bin Saidin
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
ss
Wakil Muslimat
Siti Zahidah binti Kosran
Fakulti Pengajian Islam
Selain daripada itu, dimaklumkan bahawa satu unit telah diletakkan dibawah pengelolaan Kelab Iqra’ iaitu unit jawatankuasa Surau Al-Biruni. Tujuan utama unit tersebut dibentuk adalah bagi memudah serta melicinkan pengurusan surau, dan sama-sama berganding bahu dalam mengimarahkan surau di Kolej Ungku Omar. Diharapkan agar kesemua berisan pimpinan kelab dapat sebulat hati bersatu tekad dalam menjaya dan memajukan kelab ini. Selain daripada dapat membentuk mahasiswa celik Al-Quran, juga diharap agar aktiviti yang dijalankan dapat memperkasa ibadah mahasiswa, seiring dengan kejayaan akademik.
          Beberapa agenda dan cadangan program bagi kelab iqra’ sesi ini juga telah dibuka dan dilontarkan oleh ahli-ahli. Antara cadangan aktiviti yang diberikan pada malam tersebut termasuklah :
a)      Pengisian aktiviti surau – disebabkan kesedaran terhadap kelompongan waktu di antara maghrib dan isya’
b)      Bacaan Yassin pada malam Jumaat
c)      Tadarus Al-Quran
d)     Pengajian kitab-kitab agama
e)      Penghasilan blog khusus bagi Kelab Iqra’
f)       Aktiviti luar seperti lawatan ke Terengganu
g)      Penghasilan logo baru kelab
         
           Justeru, diharap agar semua ahli Kelab Iqra’ bagi sesi 2012/2013 ini, dapat sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan barisan kepimpinan, dalam menjayakan setiap aktiviti dan mesyuarat yang akan dijalankan pada masa-masa yang akan datang. Semoga Kelab Iqra’ akan tampil menonjol sebagai sebuah kelab utama yang memperjuangkan dakwah dan isi Al-Quran.
*****
Atas inisiatif ahli jawatankuasa Kelab Iqra’ juga, blog ini telah berjaya diwujudkan mengikut konsep dan gaya penulisan yang santai dan tersendiri. Penulisan blog ini terbahagi kepada 5 kolum utama seperti berikut ;

Laman Utama : Berita-berita penting mengenai mesyuarat, aktiviti, dan pandangan ahli, dalam proses menjadikan kelab Iqra’ sebagai sebuah kelab yang memperjuangkan Al-Quran dalam hidup manusia.
Tinta Pena Kelab Iqra’ : Merujuk kepada hasil-hasil tulisan ahli-ahli kelab yang mempunyai bakat dan buah fikir dalam bidang penulisan. Terbuka kepada semua genre ilmu dan tidak terbatas. Ahli boleh mengirimkan pandangan dan karya melalui ruangan yang telah disediakan.
Bicara Muslimah : Kolum khas yang diwujudkan, atas dasar kesedaran terhadap muslimah pada hari ini. Memuatkan nasihat, permasalahan, dan asas panduan buat muslimah dalam menjalani kehidupan sebagai hiasan terbaik dunia.
Bual Buku : Satu slot khas yang memberikan huraian mengenai bahan-bahan bacaan yang santai, tetapi mempunyai isi dan moral yang tinggi. Dikupas dari pelbagai aspek ilmu, dalam mendidik remaja pada hari ini supaya mengamalkan budaya membaca.
Nasyid Hari Ini : Ruangan hiburan yang mendidik rohani. Turut dimuatkan bersama lirik-lirik lagu supaya para pembaca bukan sahaja menghayati irama, sebaliknya juga dapat menggali maksud dan pesanan yang termuat dari sudut yang tersirat. 
Sebelum mengundur diri, marilah bersama-sama kita bersatu padu menyokong dan menolong usaha dakwah dan bersama-sama memupuk nilai-nilai agama dalam diri kita. Semoga segala kebaikan dapat kita sama-sama terapkan dalam amalan kehidupan seharian, kerana Ilmu Tanpa Amal Ibarat Pohon Tanpa Buah. Segala yang baik itu datang dari Allah, dan segala yang buruk itu adalah datang dari kekhilafan diri ini sendiri. Selamat menjadi muslim cemerlang, selamat melakukan amal kebaikan.
Wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.J

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

Bual Buku : "Tuesday With Morrie"


Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku yang Hangat : Ilmu dan Sumber Ilmu dalam “Tuesday With Morrie" 


“Kebijaksanaan bukan merupakan produk dari sekolah, tapi dari usaha seumur hidup untuk mendapatkannya.”

-Albert Einstein-

Mari sebentar kita mengalihkan sorot pandang ke dunia barat. Kerna mata lahir dan mata hati yang disatukan oleh mata akal lazimnya tidak memencilkan sudut ilmu, apatah lagi mengasing-asingkannya mengikut benua. Dunia falsafah dalam kaca mata sejarah merakam pelbagai peristiwa, lantas menjadi cerminan budaya masyarakat yang menyalahertikan peradaban. Ya, hasilnya jelas, pertembungan fikrah, timur-barat, skeptikal, kejumudan ilmu, dan senarai-senarai ini menghalang taujih dalam kehidupan manusia.
                Philo (Cinta) dan Sophos (Hikmah) tidak digabungkan dengan baik oleh mereka yang merenung ilmu dan sumber ilmu yang meluas tafsirannya. Ini hanya pandangan peribadi. Hujah saya, dalam teori ilmu atau disebut sebagai epistemologi, teori ontologi (keagamaan) dan aksiologi (nilai) terpisah jauh. Bahkan sedikit usaha untuk membawa pertindihan, akan menyebabkan berlakunya letusan dan bergeselan pendapat yang besar. Di sini dapat kiranya kita renung secara mendalam, di manakah letaknya sophos dalam diri seorang manusia – diri kita sendiri.  Sekadar membataskannya kepada sumber ilmu (episteme), aliran Rasionalisme yang dipelopori oleh Heraclitus – Kemuncaknya pada zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, sentiasa bertelingkah dengan fahaman Eperisisme (Tokoh: Epicurus). Mungkin dalam benak pembaca saat ini menyatakan, bahawa hal-hal sedemikian ini tiada kaitan langsung dengan dunia Islam. Andai saya punyai kelapangan masa, ingin sahaja saya panjangkan mengenai tokoh besar Immanuel Kant yang menceduk teori skeptik Al-Ghazali. Mungkin tuan-tuan boleh menyelak kembali pertembungan  pemikir-pemikir  Islam (polemic)  seperti : Al-Ghazali- Ibnu Sinar, Al-Farabi yang menyokong rasionalisme (terbatas) dalam kerangka metafizik. Mungkin ianya akan dicoret di lain waktu.
          Selamat datang diucapkan kepada pencinta ilmu. Tidak ada cara lain untuk kita mngerti selain belajar dan bertanya. Saya masih ingat lagi, bagaimana berlakunya kejutan budaya saat awal menjejakkan kaki di medan ilmu ini. Ya, untuk hidup sebagai manusia hebat, kata guru saya, bukanlah dinilai oleh pandai bodoh seseorang manusia, tetapi sejauh mana dia mampu berfikir dan membawa dirinya dengan baik di pelbagai tempat. Kalau di sekolah dahulu, untuk tidur di dalam kelas merupakan sesuatu yang ‘haram’, paling tidak akan dibaling dengan pemadam papan hitam. Akan tetapi disini, saya terkejut apabila ada mahasiswa dengan senang hati tidur secara gotong royong di belakang kuliah (yang pelajarnya hampir 100 org), dan yang lebih dahsyat, pensyarah membiarkannya. Hidup kita sendiri-sendiri di sini. Untuk ponteng kuliah, itu hal sendiri. Untuk mendapatkan nota daripada rakan perempuan yg rajin menyalin tanpa jemu (meski tidak faham apa yang disalin –robot), itu sendiri-sendiri. Untuk belajar semata-mata mengejar anugerah dekan, meski jadi kurang bijak urusan ilmu tersirat, itu urusan diri sendiri. Untuk bangun lewat dan terlepas kelas, atau tidak pandai mengurus wang ptptn, itu juga urusan sendiri-sendiri.
          Mitch Albom dalam sebuah bukunya yang bertitik tolak dari sebuah kisah benar, amat menggugah deria fikir saya.  Tuesday With Morrie, buku yang santai tetapi benar-benar diisi oleh sumber ilmu seperti ratio, emperis, konformis, dan intuisi (saya mulakan dengan sebuah buku yang santai). Kisahnya mudah, mengenai Mitch, seorang penulis dan jurnalis hebat Amerika, tetapi merasakan sebuah kekosongan dalam hidup, malah menghadapi pelbagai masalah. Lantas dia kembali menemui pensyarah lamanya, Prof. Morrie, yang  sedang menanti saat untuk mati. Mereka kembali berjumpa setiap selasa, berbincang dan berbual mengenai erti hidup. Mereka bertukar kisah, bagaimana Morrie yang lahir dari keluarga miskin, dan harus bekerja seawal usia kanak-kanak, mampu menjadi seorang Profesor yang penuh berfalsafah. Bagaimanakah cara kita menghadapi kematian? Menghubungi sanak saudara meminta maaf? Atau mengutus surat kepada teman lama, menceritakan bagaimanaa cara kita menghadapi sisa-sisa hidup yang berbaki?  Mitch akhirnya belajar untuk menghargai hidup. Malah mengerti, bahawa tingkap yang terbuka untuk kita memerhati dunia luar, begitu besar harganya bagi mereka yang lumpuh, tidak mampu bergerak. Profesor Morrie mengalami perubahan fizikal sedikit demi sedikit, daripada mampu bercakap, menjadi kabur pertuturannya. Nafasnya juga semakin sukar, tetapi setiap fasa tersebut dihadapi dengan bersemangat.
"Kadang-kadang, terutama pada sebelah pagi, itulah masa saya meratapi nasib. Saya meraba-raba badan, menggerakkan jari-jemari dan kedua tangan. Dan apa sahaja anggota badan yang mampu saya gerakkan. Saya akan bersedih dan meratapi setiap kali menemui anggota badan yang tidak berfungsi. Saya meratapi kerana proses kematian yang lambat dan menyesakan. Akan tetapi selepas itu saya berhenti bersedih."
"Begitu sahaja?"
"Saya akan menangis sepuas-puasnya apabila perlu. Tetapi saya akan tumpukan pada nilai-nilai murni yang masih ada dalam kehidupan saya. Kepada orang-orang yang datang menziarahi saya. Kepada cerita dan berta-berita yang saya dengar. Kepada kamu-jika ia hari Selasa. Sebab kita adalah orang hari Selasa."

                                                                                     (Tuesday With Morrie : 60)
             Nah, sekarang, mari kita bandingkan permasalahan yang berlaku di seputar kehidupan harian kita. Mungkin terlalu banyak yang remeh temeh untuk kita tangiskan. Masalah cinta yang kononnya suci, sedang si pelakunya masih belum kering hingus di hidung. Masalah kewangan, teman yang tidak sehaluan, tugasan pelajaran yang tidak pernah usai, kasut yang koyak.....ohh, senarainya tidak pernah habis. Sedang saat kita menangisi permasalahan itu, ada insan lain yang sedang tersenyum, menghadapai kematian. Ya, untuk membuatkan kita tambah syukur dengan nikmat yang diberi Tuhan, maka lihatlah pada mereka yang berada di bawah.

 Sedikit saya ambil coretan  dari kulit buku yang memenangi anugerah  Buku Terlaris Bukan Fiksyen New York untuk tahun 2000.
Bagi seorang manusia, mungkin datuk, guru ataupun rakat sejawat adalah seseorang yang lebih tua, sabar dan bijak, yang memahami mereka sebagai orang muda yang masih tercari-cari mengenai hidup, membantu mereka melihat dunia sebagai tempat yang lebih indah serta memberitahu mereka cara yang terbaik untuk mengharunginya. Bagi Mitch Albom, orang itu adalah Morrie Schwartz, sang guru tua yang pernah menjadi profesornya hampir dua puluh tahun yang lampau. Namun, kesempatan kedua bagi bertemu sang guru ini berlaku pada bulan-bulan terakhir hidup profesor tua itu. Keakraban yang segera hidup kembali di antara sang guru dan murid itu sekaligus menjadi sebuah 'kuliah' bagi menghasilkan sebuah 'tesis terakhir' tentang cara menjalani hidup.Selasa Bersama Morrie ialah sebuah catatan peristiwa orang-orang yang menakjubkan. Mitch Albom berkongsi 'kuliah' berharga daripada Morrie Schwartz bersama semua.

                Mungkin, sumber ilmu sebenarnya adalah alam. Kerana sekolah yang sebenarnya bagi seorang pelajar, adalah kehidupan. Selamat berfikir dan mencari sumber ilmu sebenar.

Salam ilmu dari saya...selamat membaca.
 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk