MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Showing posts with label Slot Bual Buku. Show all posts
Showing posts with label Slot Bual Buku. Show all posts

Bual Buku : Secangkir Teh , Pengubat Letih

Friday, 12 July 2013



Secangkir Teh Pengubat Letih adalah naskhah yang merakam catatan kembara Abu Saif di bumi Khilafah Uthmaniyyah.

Ada yang pergi ke Turki dapat pahala, ada yang pergi ke Turki dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah, 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'.


Masjid Biru , Turki

Buku Travelog Tarbiah ke Turki ini amat saya gemari kerana cara penyampaian penulis, umpama saya mendengar cerita itu terus dari 'mulut' si pencerita. Pengalaman yang dilalui oleh penulis setelah 20 kali ke Turki, diungkapkan dan diceritakan dengan amat menarik dan jelas. Benar kata penulis, orang luar menganggap Turki hari ini yang merupakan 'Turki Moden' sudah terhakis, malah hilang nilai-nilai keislaman dalam diri masyarakatnya. Namun dengan membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal ini, terbuka minda saya sejenak, bahawasanya betapa ramai penghafaz Al-Quran di Turki. Sungguh membanggakan.

Melalui buku travelog ini, saya mengetahui bahawa masyarakat Turki ini sopan-santun, ramah-tamah dan pembersih. Minuman kegemaran mereka yang kerap dihidangkan ialah teh (cay). Dengan membaca buku ini, membuatkan hati saya dipanggil-panggil untuk melihat negara Turki dengan mata dan kepala saya sendiri. 

Teh di Turki atau dikenali sebagai "cay"

Penulis menceritakan betapa indahnya pemandangan semulajadi yang terdapat di Turki ditambah lagi dengan binaan masjid-masjidnya yang indah tersergam dan penuh sejarah peninggalan pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Dengan membaca buku ini juga, banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar untuk kita semua, selaku orang Islam supaya lebih berfikir dan memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mengembaralah untuk mencari jejak-jejak kegemilangan Islam dari umat terdahulu supaya dengan pengetahuan itu, kita boleh bangkit semula untuk mengulang kembali zaman kegemilangan empayar umat Islam seperti dahulu.

Turki - Menjejaki rahsia keagungan Islam :)

Badiuzzaman Said Nursi : Pejuang dan Pemikir Islam Turki

Sunday, 9 June 2013


Badiuzzaman Said Nursi , merupakan pejuang dan pemikir Turki sewaktu Turki bertukar wajah menjadi negara sekular dan mengharamkan syiar Islam.

Orangnya hebat, hidupnya penuh dugaan dan penderitaan. Tetapi kemanisan iman membuatkan beliau tegar menghadapi segala tekanan dari pihak pemerintah. 

Kagum sekali dengan ibu bapa yang mendidiknya. Ibu Said Nursi sentiasa dalam keadaan berwuduk sewaktu menyusukan beliau. Masha Allah.

Allah juga kurniakan kehebatan akal fikiran kepada tokoh ini. Dengan sekali baca sahaja beliau sudah mampu menghafal ilmu yang dibaca melalui buku dan kitab-kitab. Said Nursi turut berkongsi beberapa perkara yang dapat memudahkan ilmu untuk kita terima adalah dengan kurang tidur , kurang bercakap dan kurang makan.

Mengarang berjilid-jilid Risalah An-Nur. Beliau memfokuskan kepada permasalahan umat dan mengambil tindakan bijak mengelakkan diri dari dunia politik. Namun itu semua tetap tidak diterima oleh pihak pemerintah. Berpuluh tahun dihukum buang daerah ke pelbagai tempat, risalahnya dikaji, para pengikutnya tidak terlepas dari seksaan pemerintah serta beliau sendiri sentiasa diancam maut dengan diracuni oleh pihak tertentu sehingga akhirnya berdoa supaya kuburnya tidak diketahui orang di mana letaknya.

Selesai membaca buku ini terasa Risalah An-Nur karangan beliau sangat berharga :)


Bual Buku : MANIKAM KALBU

Friday, 26 April 2013


Tidak perlu diperkenalkan lagi penulis novel ini, iaitu Saudara Faisal Tehrani, telah banyak menghasilkan pelbagai karya sama ada novel, puisi, cerpen. Dikenali sebagai penulis novel alaf baru khususnya yang aliran kontemporari islam seperti 1511H Kombat, Advencer Si Peniup Ney, 1515. FT telah menghasilkan satu novel yang cukup unik berkaitan dengan Busan Muslim, dan seperti biasa novel yang dihasilkan adalah berdasarkan ilham dari keadaan persekitaran dan konflik masyarakat. Dimana pada masa ini konsep Busana Muslim mengalami krisis kecelaruan yang melampau kerana kegagalan pereka fesyen memahami kaitan antara busana, agama Islam dan budaya melayu.

Puas!

Itulah perasaan saya apabila telah selesai membaca novel ini. Puas dengan cerita, puas dengan ilmu yang tertulis di dalamnya, puas dengan kupasan falsafahnya, dan kepuasan yang paling besar di antara semuanya adalah rasa puas dilahirkan sebagai Melayu Islam – walaupun mungkin akan ada sedikit keraguan tentang fakta tersebut.

Dilabelkan sebagai ‘novel humor dua zaman yang langka dalam kesusasteraan’. 
Dalam zaman kini, FT memperkenalkan kita dengan watak Ziryab , anak yatim piatu yang tinggal bersama neneknya, Zainon Abdullah, seorang bekas jurubusana istana yang masyhur suatu ketika, namun mula kalah dengan hidup apabila diserang alzheimer. Ziryab bersekolah teknik dalam jurusan rekaan fesyen dan sering mengagumkan rakan-rakan serta guru-gurunya melalui kehalusan dan ketelitian rekaan dan jahitannya. Selain daripada bijak mereka fesyen, Ziryab juga seorang anak remaja yang sangat elok perilaku hingga menarik perhatian rakan-rakan perempuan sekelas dan menimbulkan kecemburuan di kalangan pelajar lelaki lain.

Kita juga diperkenalkan kepada Manikam Kalbu melalui penceritaan manira, seekor kucing Madura. Manikam Kalbu adalah seorang anak kepada seorang khadam istana bernama Melekek Sukma. Manikam Kalbu hidup di zaman Sultan Muhammad Syah, sultan Melaka di zaman kegemilangannya.

Penceritaan yang dipenuhi dengan konsep pakaian yang menurut syariat dan pengertian pemakaian Melayu tradisi, saya kagum dengan segala fakta dan data yang diumpan FT dalam novel ini. Paling tertarik dan menarik, apabila Sultan Muhammad Syah menemui Tuan Guru Haji Nuh Ha Min untuk mendapatkan pandangan ulama itu mengenai pertandingan mereka busana Melayu yang terilham daripada mimpi ngeri baginda melihat puterinya Puteri Kecil Cempaka Lana yang berpakaian “serupa kafir tapi tak kafir, serupa Islam tapi tak Islam.” Tuan Guru kemudian memperihalkan 5 syarat yang patut diletakkan di dalam pertandingan tersebut.

Walaupun anda akan membacanya, saya suka juga untuk mengulang catat mengenai syarat-syarat tersebut:

Pertama : Busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Adat orang Melayu jati, berkain baju berhati-hati.

Kedua : Busana Melayu itu pantang kainnya nipis kerana berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis.

Ketiga : Busana Melayu itu mestilah pantan ia berpotongan yang ketat, kerana memakai yang ketat menghilangkan agama, membinasakan adat.

Keempat : Busana Melayu itu pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka meniru-niru dan menjatuhkan maruah.

Kelima : Busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai, kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap, malu terburai.

Indahnya syarat ini kalau kita tekuni. Malangnya, tak ramai yang mahu jadi Melayu sejati, kerana tersangat lelah usahanya. Lagi pula, siapa yang mahu memakai baju yang serupa saja potongan dan tiada variasi sedangkan fesyen bertukar setiap zaman ?

Pada zaman kini, Ziryab pula perlu memikirkan pesanan cikgu Natasya mengenai usaha “mentajdidkan busana Melayu” – mengembalikan kepada tuntutan falsafah asalnya. Pada cikgu Natasya, busana Melayu sekarang telah dilacurkan tanpa sedar oleh pereka-pereka fesyen itu sendiri kerana mereka tidak mampu menghadam falsafah pemakaian Islam dan Melayu itu. 

Sungguh saya terpegun dengan gaya penulisan FT mengolah cerita ini.
Apapun, ini antara karya FT yang puas saya baca ! Percayalah !

Novel Isabella

Friday, 12 April 2013


Novel ini merupakan kisah nyata dari gadis Kristian bernama 

Isabella, seorang puteri kepada Pendeta tersohor di Cordova, 
sebuah kota nan indah dan bersejarah di Sepanyol.


Dia belajar agama Kristian secara mendalam dan tekun, mencuba 

untuk mencari kebenaran doktrin Kristian dengan membedah 
prinsip-prinsip dasar kekristianan. Hingga dia menemukan 
keraguan dan kejanggalan dalam ajaran Kristian. 

Tatkala kebenaran terbentang di hadapannya, ia mulai 
meninggalkan agamanya dan meraih Islam sebagai agama baru. Ia 
dengan berani dan gigih menghadapi tentangan serta siksaan 
dari ayah, guru, serta golongan Kristian di Cordova.


Isabella telah menjadi lagenda dalam sejarah  Islam dan 

Kristian. Kegigihan dalam menggenggam keyakinan telah menjadi 
inspirasi jutaan perempuan di berbagai belahan bumi. 
Sementara bagi para pengkaji, kisah Isabella tak 
pernah kering dikaji untuk mempelajari perbandingan agama.

Novel ini merupakan sebuah karya yang sangat bermanfaat,
dikemas dalam sebuah kisah yang menarik, menjelaskan 
perbandingan keyakinan Islam dan Kristian. Satu lagi karya 
klasik yang akan memberikan pencerahan pada kita. Sebuah 
novel spiritual yang menyentuh.


# siapa inginkan softcopy novel ini boleh dapatkan dari HH ^_^

Wednesday, 13 March 2013



SECAWAN TEH DINGIN, SEBUAH BUKU YANG HANGAT
"Tuhan tak pernah memaksa"
 
 
 


TUHAN TAK PERNAH MEMAKSA



Karya Dr. Abdul Aziz Bin Ahmad



Buku berjudul “Tuhan Tak Pernah Memaksa” adalah karya Dr. Abdul Aziz Bin Ahmad. Buku ini adalah berkisar tentang tentang sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang pendakwah dalam menghadapi kepelbagaian persekitaran dalam kehidupan seharian.


Tugas menyebarkan dakwah adalah satu tugas yang sangat mulia, malah menjadi tanggungjawab setiap muslim menyampaikan kebaikan Islam kepada saudaranya yang lain. Malangnya, ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui cara-cara menyebarkan dakwah mengikut landasan dan kaedah yang tepat. Kita sebagai pelajar universiti yang menuntut ilmu di bumi Allah ini juga tidak terkecuali untuk melaksanakan amanah dakwah ini yang telah diamanahkan oleh Allah kepada semua hambanya.


Sebagai pelajar yang terdiri dari pelbagai bidang pengajian, kita mestilah mempunyai sifat seorang pendakwah dalam diri kita. Dalam kehidupan seharian kita, kita perlulah sentiasa berdakwah antara satu sama lain. Sebagai contoh, kita berdakwah kepada rakan sebilik kita, rakan sekursus dengan kita, dan tidak salah juga, kita berdakwah kepada rakan-rakan yang berlainan agama dengan kita, dengan cara menerangkan secara perlahan-lahan tentang Islam kepada mereka agar mereka tertarik kepada Islam.


Dengan adanya buku ini, dapat menerangkan kepada kita berkaitan sifat-sifat yang perlu ada kepada seorang pendakwah . Sifat-sifat ini perlu dimiliki oleh seorang pendakwah bagi menjadikannya seorang pendakwah yang berjaya menyampaikan dakwah kepada orang lain.
 


Antara sifat yang perlu ada ialah:

1.0 IKHLAS BERAMAL KERANA ALLAH.

Seorang pendakwah haruslah mengikhlaskan perbuatannya hanya kerana Allah. Hal ini demikian kerana, hanya amalan yang ikhlas sahaja yang akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.


2.0 MENDIDIK DAN MEMPERBAIKI JIWA

Antara perkara penting yang perlu ada pada seorang pendakwah adalah berusaha untuk memperbaiki jiwanya sendiri dengan cara beribadah kepada Allah S.W.T. Sifat sentiasa mengecam orang lain sahaja adalah satu sifat yang salah bagi seorang pendakwah. Hal ini demikian kerana, seorang pendakwah yang baik adalah pendakwah yang sentiasa mengecam diri orang lain, di samping tidak lupa untuk mengecam diri sendiri.


3.0 BERILMU DAN WARA’

Seorang pendakwah mestilah memiliki pengetahuan mengenai apa yang dilakukannya dalam menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Ilmu adalah bekal utama seorang pendakwah. Pelbagai ilmu perlu dikuasai oleh seorang pendakwah samada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.

Wara’ adalah perkara penting bagi seorang pendakwah, Hal ini demikian kerana wara’ adalah dasar untuk ibadah diterima oleh Allah, sekaligus menjadi pengantar untuk seseorang menjadi zuhud. Oleh itu, seorang pendakwah perlulah bersifat wara’ bagi menjadikan dakwahnya diterima oleh orang ramai.


4.0 KASIH SAYANG, DAN PEMAAF

Metod terbaik yang digunakan oleh para Nabi adalah memulai dakwah dengan kasih sayang, kelembutan, berhikmah,nasihat ke arah kebaikan dan memaafkan orang lain. Metod ini akan membuatkan individu yang menerima dakwah berasa disayangi, sehingga dengan sendirinya akan membuka hati mereka untuk menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Justeru, metod yang digunapakai oleh para Nabi ini, perlu dicontohi oleh pendakwah-pendakwah masa kini.


5.0 BERKEYAKINAN DIRI, BERFIKIR MENDALAM DAN TIDAK TERGESA-GESA

Antara sifat yang harus dimiliki seorang pendakwah ialah berkeyakinan diri, berfikiran mendalam dan tidak tergesa-gesa. Ketika menjalankan dakwah, seorang pendakwah perlulah yakin menyampaikan dakwahnya. Pendakwah juga perlu berfikir dengan mendalam terlebih dahulu sebelum bertindak dan tidak boleh tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu tindakan.


6.0 SABAR

Sifat yang paling penting yang mesti dimiliki oleh pendakwah adalah sabar. Hal ini demikian kerana, seseorang pendakwah perlu menghadapi segala kesakitan dan cubaan samada cubaan jiwa, raga dan harta ketika menyampaikan dakwah. Cabaran-cabaran ini perlu dihadapi dengan penuh kesabaran kerana sesungguhnya usaha dakwah itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah yang memerlukan kesabaran yang tinggi


7.0 BERAKHLAK MULIA DAN MENJAUHI SIFAT MARAH

Sesungguhnya, antara sifat seorang pendakwah adalah berakhlak mulia. Dengan adanya akhlak mulia yang dimiliki, akan menyebabkan penerima dakwah mencontohi akhlak terpuji yang dimiliki pendakwah. Seseorang pendakwah juga mestilah sentiasa menjauhi sifat marah. Hal ini demikian kerana, dalam menjalankan usaha dakwah, pastinya akan ada pelbagai cabaran dan dugaan yang boleh menyebabkan seseorang pendakwah menjadi marah. Oleh itu, pendakwah perlulah mengawal emosi dan sifat marahnya agar dirnya tidak ditakuti oleh orang ramai.


8.0 TIDAK MEMBUKA AIB

Seseorang pendakwah perlulah sentiasa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada seluruh manusia. Pendakwah tidak boleh mengorek rahsia, mencari kesalahan orang lain dan pendakwah juga tidak boleh membuka aib individu yang didakwahnya. Segala keburukan dan kesalahan orang yang didkwahnya, perlulah disimpan agar tidak diketahui oleh orang lain.


Konklusinya, usaha dakwah bukanlah satu perkara yang mudah. Hal ini demikian kerana, pelbagai rintangan perlu dihadapi oleh seseorang pendakwah. Walaubagaimanapun, kita janganlah takut untuk menjadi seorang pendakwah, kerana menjadi pendakwah adalah satu kewajiban bagi setiap manusia.


Justeru, dengan adanya buku ini, dapatlah memberikan kita input-input berguna bagi menjadikan diri kita seorang pelajar Universiti pendakwah yang berjaya berdakwah kepada orang lain. Walaupun tujuan utama kita di Universiti ini adalah untuk menuntut ilmu, tetapi, kita jangan lupa bahawa kita juga ada tanggungjawab untuk berdakwah kepada orang lain. Usaha dakwah ini adalah satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah S.W.T kepada semua hambanya, tidak mengira usia dan tidak mengira taraf pendidikan


Oleh itu, setiap pelajar khususnya, dan setiap insan di muka bumi ini amnya ,haruslah mempunyai buku ini. kerana, pelbagai ilmu yang terdapat di dalam buku ini boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita bagi menjadikan diri kita seorang pelajar Universiti pendakwah yang berjaya berdakwah kepada semua manusia.

 

Wednesday, 20 February 2013


 

SECAWAN TEH DINGIN, SEBUAH BUKU YANG HANGAT

"MENJADI WANITA SUPER DENGAN ASMAUL HUSNA"

-Wanita super adalah wanita hebat yang menjadikan 99 nama Allah yang indah sebagai hiasan hidupnya, lahir dan batin-

 

 

Saya tidak mahu mengupas secara mendalam keseluruhan 99 nama Allah dan pastinya itu akan menjadi sebuah buku dan bukan artikel lagi J Apa yang ingin saya tekankan disini adalah sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim , Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Menurut ahli bahasa, Ibnu Faris, kata-kata itu terdiri daripada huruf ra’ , ha’ dan mim yang membawa makna ‘lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan’. Sesungguhnya setiap ciptaan Allah adalah penerima rahmatnya kerana Allah berfirman dalam surah Al- A’raf ayat 156 , “Rahmatku meliputi setiap sesuatu”.

Anggaplah Ar-Rahman dan Ar-Rahim itu vitamin untuk jiwa kita. Lumrah jiwa manusia sering berada dalam gundah. Penuhkan diri kita dengan kasih sayang kerana Allah juga sayang akan hamba-hambaNya. Hilangkan sifat-sifat yang berlawanan dengan kasih sayang dalam jiwa kita. Pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan keluar sifat-sifat kebencian dan permusuhan dalam diri kita. Tanamkan dalam jiwa, dalam minda, dalam kalbu, di mana kita berada, di situ juga Allah berada. Ini bererti di mana sahaja dan pada bila-bila masa , kita merasakan kasih Allah itu ada di seluruh alam ini.
Penting bagi kita untuk memberikan vitamin kasih sayang kepada sesama makhluk kerana kekuatan kasih sayang itu mampu menakluk manusia yang keras, walaupun sekeras singa.

“Orang yang memiliki sifat kasih, mereka juda dikasihi Allah yang Maha Pengasih. Kasihi makhluk yang ada di bumi, nescaya makhluk yang ada di langit mengasihi kamu”

Imam Al-Ghazali menerangkan, manusia yang memiliki sifat Ar-Rahman adalah manusia yang menunjukkan kasih sayangnya kepada orang yang lalai dengan mengajak mereka mematuhi Allah melalui teguran ataupun nasihat. Mereka melakukannya dengan kelembutan bukan dengan kekasaran. Mereka memandang orang derhaka dengan mata yang jernih, bukan dengan mata yang menghina. Mereka memandang setiap kederhakaan yang berlaku di dunia ini sebagai kederhakaan mereka sendiri dan mereka berusaha sebaik mungkin bagi menghapuskannya. Mereka mencurahkan kasih sayang kepada orang-orang yang derhaka supaya mereka terselamat daripada kemurkaan Allah.

Tuhan,

Jadikanlah aku instrument kasihMu

Di mana ada kebencian, biarkan aku menyebar cinta,

Di mana ada hati terluka, biarkan aku menjadi penghibur,

Di mana ada keraguan, biarkan aku menyebar keyakinan,

Di mana ada keputusasaan, biarkan aku menyebar harapan,

Di mana ada kesedihan, biarkan aku memberi kebahagiaan.

Di mana ada kegelapan, biarkan aku memberi cahaya.

 

Secara umumnya, lelaki mahupun wanita yang mengamalkan Asmaul Husna dalam kehidupan mereka, mampu menjadi insan super yang disegani lagi dihormati. Persoalannya, sejauh mana seseorang wanita itu boleh mencapai tahap muslimah super ? Wanita yang mahu menjadi muslimah super, asas utamanya adalah Allah. Allah perlu diletakkan paling atas daripada segala-galanya. Sekiranya niat awal sesuatu kerja tu bukan kerana Allah, tetapi lebih didorong oleh keinginan untuk mempunyai harta, jawatan, kecantikan dan sebagainya, secara tidak langsung, kita berpijak di atas asas yang rapuh.
Muslimah super menjadikan 99 nama Allah sebagai hiasan hidupnya, lahir dan batin. Nama-nama Allah yang indah tidak hanya dibaca tetapi difahami maksudnya, dihayati dan diaplikasi dalam kehidupan seharian. Kita sering disibukkan dengan urusan-urusan dunia sehingga kita lalai bahkan kadang-kadang nama-nama Allah pun kita tidak ketahui. Astarghfirullah al adzim, ampunkan kami ya Allah. Sekiranya kita tersedar, tiada istilah terlambat , kita masih punya kekuatan untuk meraih sebanyak mungkin ilmu. Saya yakin ciri-ciri muslimah sejati ada dalam diri anda semua J

Bersambung … Al-Malik , Maha Menguasai

Sunday, 23 December 2012




SECAWAN TEH DINGIN, SEBUAH BUKU YANG HANGAT : 

"Nota hati seorang lelaki"


“Carilah sesuatu yang luar biasa di sebalik buku yang biasa-biasa ini!”
- Ust. Pahrol Mohd. Juoi. -


Seusai sampai di rumah, terus saya mencapai pena biru menconteng beberapa huruf melambangkan singkatan nama saya pada kulit dalam buku ini. Tidak lupa ditulis tarikh dan juga tempat saya membelinya. Buku hebat yang berjaya menambat nafsu saya yang selalu ketandusan kata-kata tarbiyah dari penulis kegemaran ini, Ustaz Pahrol! Buku yang tidak terlalu tebal (265 muka surat) membuatkan saya yakin saya mampu untuk menghabiskan pembacaan lantas menghadam segala isi dalamnya.

            Melihat tajuknya sahaja, buat hati ini tertarik. Bila membaca sinopsis di belakang pula membuatkan jasad ini terus menggenggam buku tersebut dan melangkah menuju ke kaunter bayaran. Saya sangat nak tahu tentang hati seorang lelaki. Almaklumlah hari-hari saya memang selalu bersama insan bernama lelaki. Baik seorang ayah, empat orang abang, tiga orang abang ipar, rakan sekuliah jangan ceritalah ramainya ye tak? Cantik susunan yang dipersembahkan oleh penulis. Saya betul-betul memujinya. Penulis telah membahagikan isi buku kepada empat kategori. Pertama : Nota Hati Seorang Anak (lelaki). Kedua : Nota Hati Seorang Suami. Ketiga : Nota Hati Seorang Ayah. Keempat : Nota Hati Seorang Da’ie.

Memetik salah satu daripada kisah yang ada, penulis telah menceritakan dimana seorang anak lelaki itu sering pulang ke kampung menjenguk kedua ibu bapanya. Namun di situ diceritakan bahawa ayah kepada anak lelaki tersebut sering meminta duit daripada anak lelaki tersebut.

“Ada duit tak? Minta ayah sedikit….” Namun, disebalik kesempitan hidup anak lelakinya yang masih dalam proses membina keluarganya itu masih sedia menghulur meskipun hanya sekeping not hijau bernilai RM 5 kepada ayahnya. Namun dia tetap berasa tidak sedap kerana hanya mampu menghulur sejumlah kecil sahaja kepada ayahnya. Maklumlah, anak-anaknya masih kecil, pulang ke kampung pun hanya cukup-cukup duit tambang sahaja. Hal ini telah di adukan pada ibunya, lantas ibunya membalas “Berikan saja..”. walaupun hatinya serba salah dihulur juga meskipun jumlahnya tidak seberapa.

            Lama kelamaan pada pemerhatiannya, setiap kali sebelum dia pulang bapanya akan memulangkan semula not hijau pemberiannya tadi dengan menyelitkan wang itu ke dalam saku baju anaknya. Malah nilai wang itu telah bertambah!. Dari sekeping kepada dua keping malah kadang-kadang melebihi daripada pemberiannya.

Semakin lama kehidupan anak lelaki tadi semakin kukuh dari segi ekonominya. Tabiat ayahnya masih juga sama, sering meminta duit sekiranya anak lelaki itu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua itu. Malah pada setiap kali dia memenuhi permintaan ayahnya itu, pada setiap kali itu jugalah ayahnya membalas dengan menyelitkan wang tadi dan tambahannya ke dalam poket anak-anaknya. Daripada pemberiannya hanya sekeping RM 5 kepada jumlah yang semakin besar ayahnya tetap melakukan perkara yang sama. Meminta, memulangkan dan kadang-kadang memberi lebih. Syukur pada Allah, dari pada pulang ke kampung menaiki bas sehinggalah sudah berkereta kecil sepadan kemampuannya malah beberapa tahun sesudah itu anak lelaki tadi mampu menukar kepada kereta yang lebih besar dan selesa buat keluarganya.

            Nah, dapat saya rumuskan tentang keberkatan pemberian anak lelaki tadi yang mana akur dengan permintaan ayahnya. Rezeki yang sedikit itu lebih berkat jika dikongsikan kepada yang lain apatah lagi dalam memenuhi permintaan seseorang lebih-lebih lagi ayah kita.

************************************************************



“Seorang anak hanya akan menyedari erti sebenar kasih kedua-dua ibu bapanya apabila dia sendiri mempunyai anak. Jangan sesekali memungkiri kasih kedua-dua ibu bapa yang telah tua, nanti anak-anak akan dewasa dengan memungkiri kasih kita” – penulis.

Sungguh mendalam huraian dan rungkaian yang dipersembahkan oleh penulis. Kadang-kadang saya terpaksa akui bahawa bait kata-katanya buat hati ini menangis dari dalam. Aura keinsafan segera menyelinap ke seluruh rongga kalbu ini. Indah sungguh isinya.       

Nota Untuk Ayah : Hadiah terbaik dari seorang ayah untuk anak-anaknya ialah dengan mencintai ibu mereka. Cintai isteri maka anak-anak akan cintai kita. Jangan sesekali memisahkan antara kasih anak dan ibu, nanti putus pula kasih anak dan bapa!-penulis.

            Kisah kedua yang tertarik untuk saya berkongsi di sini adalah daripada bahagian Nota Hati Seorang Ayah. Kisah berjudul “Kasih Ibu Tidak Boleh Diganti” pada muka surat 93. Kali ini penulis membawa kita menerjah kisah seorang ayah, bersama anak lelakinya yang masih kecil. Ketika mereka berjalan di kawasan pasar pagi, mereka terlihat seekor anak kucing yang lemah dan tidak bermaya. Setelah membuat keputusan, mereka sepakat untuk membawa pulang anak kucing tersebut untuk diberi perlindungan dan keselesaan. Sebelum melangkah masuk ke kereta, datang ibu kucing tersebut dan seekor lagi anak kucing yang mungkin merupakan saudara kucing yang sedang dikendong oleh kanak-kanak lelaki tadi.

 Setelah sedikit berbincang, si ayah lantas membuat keputusan untuk membawa pulang anak kucing yang berwarna kecoklatan tadi. Hal ini kerana kondisi kucing itu lebih lemah dan tidak bermaya jika dibandingkan dengan yang seekor lagi. Meskipun si ibu kucing seakan-akan sedih apabila melihat anaknya dibawa pergi namun, si ibu kucing tetap tidak berdaya membuat apa-apa. Niat si ayah adalah untuk memelihara kucing tadi. Dia mampu sediakan tempat perlindungan yang selesa dan selamat, makanan kucing yang lebih berkhasiat malah penjagaan kesihatan kepada kucing terbabit. Selang beberapa hari, kondisi Si Comel (kucing tadi telah diberi nama) masih dalam keadaan asal. Matanya tertutup, badannya lemah tidak bermaya. Masuk hari ke-4, jam 2 petang, si ayah mendapat panggilan dari anak lelakinya yang menangis, katanya Si Comel telah pun mati.

Apakan daya hayat Si Comel tak panjang. Lantas si anak bertanya kepada ayah. “..ayah rasa, saudara Si Comel tu, mati jugak ke?” dengan yakin si ayah menjawab, “Di rumah yang mewah dengan makanan kucing pun Si Comel mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar…..ayah rasa mati juga.”

Dua bulan berlalu, si ayah dan anaknya kembali ke pasar yang sama. Dalam pada masa itu, terlihat dua ekor kucing. Si ibu, dan si anak. Pastinya itu saudara Si Comel. Ia telah sihat, gemuk dan lincah. Tiba-tiba ayah tadi berasa kesal dengan tindakan dan kata-katanya yang lepas. Ternyata perbuatan dia memisahkan Si Comel dengan ibu kandungnya itu merupakan satu kesilapan yang besar.

Meskipun dalam keadaan serba kekurangan, ibu masih mempunyai aura yang mampu memberikan keselesaan dan rasa selamat pada anak. Itu baru binatang, apatah lagi kita manusia yang berakal ini. Kasih ibu itu tiada pengganti. Si ayah benar-benar malu dan insaf dengan perbuatannya. Dia akui tindakkan memisahkan anak kucing tadi bukanlah sesuatu yang resional. Lantas si ayah berkata kepada anak dan isterinya “Hadiah terbaik seorang ayah kepada anaknya ialah dengan mencintai ibu kepada anak tersebut..siapa lagi kalu bukan isterinya!”

Dalam petikan kisah ini menceritakan bahawa betapa si ayah tadi tidak mampu menggantikan kasih seorang ibu, walaupun hanyalah kepada seekor kucing. Betapa kemewahan, keselesaan dan kesempurnaan itu kadang-kadang tidak boelh menggantikan apatah lagi membeli harga kasih dan sayang seorang ibu kepada anak-ankanya.

Sebak hati ini dengan pendekatan yang digunakan, dengan bahasa yang mudah difahami, makanya maksud penulisan itu sangat cepat dihadam dan meresap ke sanubari. Lagi banyak kisah-kisah yang dibawa oleh penulis dalam mengkategorikan perasaan, nilai dan perspektif dari pada jiwa insan yang bergelar lelaki. Bagi diri ini, pertamanya apabila membaca buku ini saya berasa amat berterima kasih kepada ayah saya terutamanya, berkat susah payah dan penat lelah dia makanya saya masih bernafas dan sempat sampai dan berpijak di bumi UKM ini.

Akhir kalam dngan kesempatan dan ruang yang terbatas, sudah tentu tidak mampu bagi saya meneruskan ulasan buku ini. Tuntasnya, buku ini amat bermakna pada saya, kesannya mendalam bagi kehidupan saya yang lepas juga pada kehidupan yang mendatang kerana hakikatnya Allah s.w.t telah menciptakan Lelaki itu pada sifat dan kekuatanya yang tersendiri di muka bumi ini, seharusnya mereka sedar, faham dan aplikasikan selurunya ini dalam hayatnya. Bahan bacaan ini amat sesuai bagi semua, baik lelaki mahupun perempuan kerana hidup kita saling melengkapi. Untuk lelaki diadaptasi, bagi perempuan biar lebih memahami. Wallahu’alam J

Saturday, 24 November 2012

 

Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku Yang Hangat : Islam dan Budaya dalam “Wali Songo, Perjuangan dalam Dakwah Islam” (Bahagian 2)

 
 
 



(Sambungan daripada entri terdahulu…)

            Begitu juga dengan Sunan Bonang yang menjalankan usaha dakwa secara halus dan penuh seni. Sunan Bonang atau nama sebenarnya Syeikh Maulana Makhdum Ibrahim, merupakan anak kepada Sunan Giri dan Dewi Condrowati (Nyai Ageng Manila). Maka, sejak dari kecil lagi, Sunan Giri sudah mempersiapkan puteranya dengan tingkat ilmu yang tinggi, sesuai dengan tingkat para wali. Seperti juga muridnya Raden Said, Sunan Bonang juga merupakan titis bangsawan iaitu datuknya adalah Raja Majapahit. Terdapat beberapa kisah ajaib lagi aneh yang melibatkan diri beliau. Pernah suatu ketika datang seorang Brahma yang berilmu tinggi belayar ke Tuban untuk berdebat mengenai hal ehwal agama dengan Sunan Bonang. Dalam perjalanan tersebut, kapal Brahma telah dipukul rebut, menyebabkan segala kitab agama hilang dan musnah. Brahma tersebut akhirnya terdampar di pesisir pantai Tuban.

            Sunan Bonang telah menyambut beliau di tepi pantai, berserta dengan kitab-kitab agama milik pendeta tersebut setelah Sunan Bonang menancapkan tongkatnya pada pasir (kitab-kitab tersebut mengalir keluar bersama air). Akhirnya pendeta tersebut menjadi pengikut Sunan Bonang yang setia.
Dalam usaha menyebarkan dakwah melalui cara budaya, Sunan Bonang lebih terdorong dalam bidang penulisan dan kesusasteraan. Antara hasil tulisan beliau termasuklah Suluk Wrigil dan Tambo Ati; Tambo Ati merupakan lagu ciptaan beliau yang sangat terkenal, malah hingga kini masih dinyanyikan di pondok-pondok agama.
 
 
“Tamba ati iku lima sak warnane,
Maca Quran, angen-angen sak manene,
Kaping pindho solat sunnah lakonano,
Kaping telu wong kang soleh kancanana,
Kaping papat kudu wetheng ingkang luwe,
Kaping lima zikir wengi ingkang suwe,
Sopo wong bias ngelakoni,
Insya Allah Gusti Allah nyembadani.”
 
 
Maksudnya ;


“Ubat hati itu lima jenisnya,
Pertama baca Al-Quran dengan maknanya,
Kedua mengerjakan solat malam,
Ketika sering bersahabat dengan orang soleh,
Keempat harus sering berpuasa,
Kelima selalu berzikir mengingati Allah,
Siapa sahaja yang mampu mengerjakan,
Insya Allah Tuhan Allah mengabulkan.”

p/s : Manuskrip penuh Suluk Sunan Bonang pada masa kini tersimpan rapi di Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda.
 
 
Terdapat juga kisah bagaimana Sunan Bonang yang menginsafkan perompak dengan hanya memiankan bonangnya (gamelan), hingga akhirnya ketua perompak tersebut menjadi murid beliau. Saya tinggalkan kisah itu untuk pembaca meneliti sendiri kisah penuh takjub yang terdapat dalam buku ini. Sekiranya kita bertanya kepada masyarakat Jawa mengenai Sunan Bonang, nescaya kisah yang paling terkenal sudah tentu adalah kisah antara beliau dengan muridnya, Lokajaya, yang akhirnya digelar Sunan Kalijaga (sebagaimana telah dihuraikan pada tulisan sebelum ini).
            Sebagai kesimpulannya, ternyata usaha dakwah golongan Para Wali di daerah Nusantara hadir bersama dengan budaya dan kesenian yang dekat dengan jiwa masyarakat tempatan. Mereka menghuraikan tentang kemurnian Islam dengan cara berfalsafah dan penuh keasyikan. Sebagai contoh, Sunan Kudus telah memulakan dakwah dengan bercerita tentang sapi betina terlebih dahulu sebelum membaca Surah Al-Baqarah. Juga, masjid Kudus yang dibina beliau, terdapatnya lapan ukiran patung kepala lembu pada setiap tempat pancuran air wuduk, sesuai dengan jalan berlipan lapan “Asta Sanghika Marga” dalam ajaran Buhda.
Masih banyak lagi kisah para wali yang tidak sempat dicoretkan kesemuanya oleh saya di lembaran ini. Mungkin selepas membaca buku ini, kita tidak lagi menjadi jumud, sombong, dan angkuh dalam memngakui kehebatan budaya dalam arena dakwah. Juga mungkin perlu untuk banggakan, bahawa kita dan kesenian adalah rapat, dan kita sendiri adalah insan seni.

Selamat membaca, dan mencari makna seni dalam diri…

Monday, 29 October 2012

Secawan Teh Dingin, Sebuah Buku Yang Hangat : Islam dan Budaya dalam “Wali Songo, Perjuangan dalam Dakwah Islam” (Bahagian 1)



“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”
 (Hamka)

Nah, ayuh kali ini kita terbang di sekitar Nusantara pula. Mari kita memejamkan mata seketika, dan membayangkan, bagaimana corak dan cara agama Islam, tiba di daerah kita dengan penuh bergaya.  Saat saya di bangku sekolah, saya benar- benar tidak menyangka bahawa kitab karangan Tun Seri Lanang, Sulalatus Salatin itu punya begitu banyak sekali rahsia besar, termasuklah sejarah penyebaran Islam di rantau Melayu ini.
Ya, kalau kita membuka kembali lembaran buku teks sejarah (saya sangat mengantuk sewaktu guru sejarah membacakan fakta-fakta di dalam kelas), maka kita akan menjumpai fakta beku, bahawasanya Islam tiba di daerah kita ini, dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang. Batu Bersurat tersebut ditemui oleh As Sayid Hussein Al Ghulam Bukhari pada 1320 Hijrah, bersamaan 1902 Masihi sewaktu beliau memudik hulu Sungai Terengganu. Fakta tersebut sungguh-sungguh benar tidak mencukupi bagi diri saya. Maka saya menyelongkar semula cerita-cerita yang pernah saya dengar tentang keindahan dan keunikan para Wali Songo yang berjuang memartabatkan Islam di tanah Jawa. Kita harus ingat, bahawasanya di rantau Nusantara ini, kawasan pertama yang menerima Islam adalah Pasai, dengan bukti penemuan batu nisan Sultan Malikul Salleh (Merah Silau – Hikayat Raja Pasai yang diselenggarakan oleh Russell Jones). Aduh, sungguh rahsia besar ini pun dilukis oleh Tun Seri Lanang dalam kitab agungnya itu.
            Sebelum munculnya Islam, kita harus mengakui, bahawa agama Hindhu dengan pengenalan tiga penjurunya – Krisyna, Visynu, dan Siva (lebih 2000 tahun S.M) mendominasi masyarakat Nusantara. Pada tahun 400 Masihi, agama Hindu sudah kuat bertapak melalui wujudnya kerajaan Kutai yang kuat di Kalimantan Timur. Penemuan batu bersurat bertulisan Pallava memungkinkan wujudnya hubungan Kutai di bawah pemerintahan Raja Mulawarman dengan kerajaan India Selatan. Kemudian, Islam tiba penuh bergaya di kawasan kita melalui satu cara yang sangat berbeza dengan kaedah penyebarannya di Timur Tengah. Pertama, sudah tentu kerana Islam merupakan agama yang indah dan sempurna. Sebab kedua mengapa Islam berjaya, adalah kerana globalisasi demografinya yang sempurna (demographic globalization), sesuai untuk semua peringkat.
Lalu apa rahsia ketiga yang menyebabkan pengaruh dan pegangan Hindhu dalam jiwa masyarakat Melayu itu berjaya dinyah terus? Maka saya turunkan rahsianya pada tulisan ini, tidak lain dan tidak bukan adalah budaya, atau kaedah penyebarannya disebut sebagai Islam Tsaqafi. Aneh sungguh pada saat dunia yang semakin pincang pada hari ini, kita menolak budaya sebagai medium penting dalam dakwah. Bahkan ada juga ustaz ustazah menolak terus budaya, dengan alasan bahawa ianya tidak terdapat dalam ajaran Islam. Sungguh betapa kita tidak menguliti sejarah dengan sempurna. M.B Rahimsyah AR. dalam buku terkenal beliau, Wali Songo- Perjuangan dalam Dakwah Islam, menyebut secara terperinci mengenai pertembungan budaya yang berlaku dalam masyarakat Nusantara khususnya pada zaman kerajaan Demak, di bawah pemerintahan Raden Patah. Namun demikian, amat menyedihkan apabila golongan para wali ini tidak sempat membawa Islam ke daerah Kepulauan Bali, hingga saat ini masih kuat berpegang pada ajaran Hindu.


Para Wali ini menggunakan satu bentuk falsafah yang sangat menggugah jiwa, iaitu “Menangkap Ikan Tanpa Mengeruhkan Airnya”. Bagi saya, falsafah tersebut sudah lebih dari cukup untuk meletakkan kedudukan budaya pada tempat yang terpenting. Sungguh benar saya merasakan diri begitu tandus sejarah, dan jiwa menggelegak kacau ingin mengetahui keindahan yang mereka bawa. Allah Maha Kaya, saya bertemu dengan keindahan yang dicari. Betapa saya mengagumi Sunan Ampel dengan konsep Moh Limo nya;
i)                    Moh Main
ii)                  Moh Ngombe
iii)                Moh Maling
iv)                Moh Madat
v)                  Moh Madon
Kelima-lima aspek ini merujuk kepada seruan tidak meminum arak, tidak berjudi, tidak mencuri, tidak mengambil dadah, dan tidak berzina.
Begitu tersentuh saat mendengar kisah Sunan Kudus yang menggunakan Sapi dan Surah Al-Baqarah bagi menarik penganut Hindu agar memasuki masjid. Sunan Bonang dengan bonang dan Tambo Ati nya (ingat lagu ubat hati?) Juga yang paling tidak dilupa, bagaimana Sunan Kalijaga pandai dan mahir berdalang wayang kulit. Begitu asyik sekali bagaimana cara mereka menyelinap memasuki ruang lingkup kehidupan masyarakat.
*****
      Raden Said, merupakan putera Adipati kerajaan Tuban, lahir dalam keluarga bangsawan. Semenjak kecil beliau sudah menunjukkan satu sikap yang aneh, iaitu keluar berjalan-jalan di sekitar kampung, tidak betah tinggal di istana. Pada saat itu, rakyat hidup dalam keadaan yang kelaparan, penyakit merebak dengan pantas, tanaman tidak menjadi, dan cukai tetap harus dibayar. Penindasan ini menjadi pandangan yang sangat memberi kesan besar pada jiwa Raden Said. Apabila dewasa, jiwa anak muda itu mulai memberontak, beliau telah mencuri makanan-makanan dari gudang, dan membahagikannya kepada rakyat miskin yang kelaparan. Beliau akhirnya ditangkap, dan tangan beliau disebat. Namun, hal tersebut masih tidak memberi kesan sedar. Raden Said mengenakan topeng, merompak orang-orang kaya yang tidak membayar zakat. Seluruh Tuban gempar dengan nama perompak yang dipanggil sebagai Lokajaya.
      Lokajaya akhirnya menemuai jalan mati, apakala ada seorang perompak lain yang mengenakan pakaian yang sama dengan beliau. Lokajaya telah dituduh memperkosa seorang gadis, ditangkap dan dibawa ke istana Tuban. Sangat kecewa dengan perilaku anaknya, Adipati Tuban telah menghalau Raden Said keluar, dan ibunya melarang beliau balik ke istana, selagi tidak dapat menggetarkan dinding-dinding istana dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu dibaca beliau.
      Jalan damai bagi Raden Said sebetulnya baru bermula, terdapatnya sebuah kisah sungguh indah, bagaimana beliau telah bertemu dengan Sunan Bonang, dan merayu agar dapat menjadi murid ulama’ tersebut. Sunan Bonang menancapkan tongkatnya di pinggir kali, dan menyuruh agar Raden Said tunggu sehingga beliau datang kembali. Raden Said yang cekal hati akhirnya telah bertapa di pinggir kali tersebut, menunggu sehingga beberapa tahun, sebelum datangnya Sunan Bonang  membangunkan beliau yang berada dalam keadaan  tidak sedar, dengan alunan azan. Maka dari saat itu, Raden Said itu tadi digelar Sunan Kalijaga, atau bermaksud Penjaga Kali (Penjaga Sungai). Hingga beberapa detik selepas itu, Sunan Kalijaga sering mengirimkan bacaan ayat suci Al-Quran buat kedua orang tuanya, yang menggoncangkan istana Tuban.
      Amat terbatas untuk saya mengungkapkan keindahan-keindahan dalam setiap episod perjalanan dan usaha dakwah para wali, dalam lembaran yang sangat sesempit ini. Apa yang ingin benar saya sampaikan, adalah supaya kita kembali kepada akar budhi dan daya yang dianjurkan oleh Buya Hamka suatu masa dahulu. Budhi boleh ditakrifkan sebagai cahaya atau sinar yang terletak dalam batin seseorang insan, manakala daya pula bermaksud keupayaan atau usaha manusia melaksanakan sesuatu dengan anggota yang digerakkan oleh budhi. Perumus teori dari Amerika, E.B. Taylor, menyebut bahawa kebudayaan adalah satu jalinan yang meliputi aspek pengetahuan, kepercayaan, susila, dan adat dalam sesebuah masyarakat termasuklah dalam aspek politik. Pandangan dan pendapat ahli sejarawan ini bermaksud budaya tidak hanya meliputi adat, kerana budaya itu bersifat universal, namun dipraktikkan dalam bentul glokal. Suatu kontradiksi interpretasi yang memerlukan pandangan daripada semua pihak.  
(Bersambung...)
 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk