Tuan Puteri Shahrizad itu kerjanya angguk-angguk sedari tadi. Mahu sahaja ditempeleng dek Aswad, namun bimbang pula nanti bertambah jadinya cacat. Itulah tuan-tuan, hendak kita peringatkan, jangan sesekali makan sambil bercakap, atau tidur tertunggeng tiada adab, kononnya itu amalan ahli fikir. Dusta semata itu semua. Kerna yang namanya ahli fikir itu tuan-tuan tiada ia angguk-angguk geleng-geleng terkinja dengan leher dikalung rantai entah apa, bagai bangsa kera zaman baru yang kerjanya memanjat kelapa. Bimbang terus nanti andai tuan-tuan ditimpa akan penyakit wahan sebegini rupa.
“Sungguh Nabi Sulaiman itu seorang nabi yang penuh tinggi budi pekerti. Dilayan sehabis baiklah akan bangsa kijang tersebut, bertambah suka di hati baginda menerima tetamu sedemikian rupa. Baada membai’at baginda, maka pulanglah bangsa kijang itu kedalam hutan sambil masing-masing menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, sebanyak-banyaknya tanda syukur kepada Allah. Tiada bangsa kijang itu menyanyi lagu ‘Kijang Boleh’, yang dilafazkan hanya puji-pujian pada Tuhan Yang Esa.
Wahai tuanku, ‘sirr’ Allah itu tiadalah dapat diduga oleh sesiapa, begitu andai kasad di hati itu mulia, akan dibalas dengan yang muluk-muluk jua. Dalam perjalanan pulang ke hutan semula, terbitlah suatu bau amat harum merdu, narawastu belum pernah diketemu. Berpecahlah bangsa kijang mencari punca akan wangian tersebut namun tiada beroleh apa. Lelah mencari, entah bagaimana tersentuh jari seekor kijang kepada ekor sahabatnya yang lain. Dihidu-hidunya dalam-dalam, hingga bertelut dia sujud syukur kehadrat Allah, kerna dianugerahkan oleh Tuhan bauan yang semerbak pada ekor masing-masing.
Adapun tuanku puteri, hendak ditambah rencah cerita, disebut oleh para ulama’ akan perihal kasturi ini iaitu, wanginya kasturi itu kekalnya ia tiada hilang meski disentuh dek empat puluh orang secara berantai. Masih kekal baunya kasturi itu. Subhanallah.
Gempar dan pecahlah rimba dek mendengar berita perihal kasturi, masing-masing mengucap tahniah pada bangsa kijang yang dulu kononnya lemah.”
Tuan Puteri Shahrizad sudah berhenti angguk-angguk, tersenyum simpul sambil berkelip-kelip mata menyebut ‘sesaat mendengar cerita kamu, ana jadi malu lulu lulu.’
Menggeleng-geleng jualah si Aswad. Sungguh menggedik watak baru Tuan Puteri ini. Sengaja baginda mencabut bunga matahari yang disisip di telinga, dihidu dalam-dalam mencari kasturi barangkali. Sedar bahawa perilakunya diperhati, lantas Tuan Puteri berhenti menghidu dan pura-pura khusyuk kembali.
“Kita enjoy.” Laung Tuan Puteri Shahrizad tersenyum manis.
“Maka berita akan hal kasturi itu dapatlah dihidu oleh bangsa kera. Cekatan ketua bangsa kera ini menghimpun akan anak-anak buahnya mahu segera ke istana dengan satu tujuan, satu matlamat, mahu akan kasturi juga. Berdiri ketua bangsa kera diatas busut tinggi, berucap penuh berani.
“Dengar sini wahai bangsaku, niatkan di hati masing-masing. Tiada mahu kita berekor wangi seperti kaum kijang. Kita mahu lebih daripada itu. Kita mahu lebih. Kita mahu biar punggung kita berbau wangi.” Bersoraklah bangsa kera bersemangat menggila lupa Tuhan lupa dunia.
Tiba di istana Nabi Sulaiman, maka berbai’atlah bangsa kera ini pada Nabi Sulaiman. Sungguh mulianya baginda, dilayan bangsa kera itu sama sahaja dengan bangsa kijang dahulunya. Tiada pilih kasih, tiada mentor mentee kerna semua itu bakal merosak sahaja nanti.
Gembiralah dihati bangsa kera tiada kepalang lagi. Dalam cepu fikir masing-masing membayangkan bagaimana gamaknya andai punggung mereka masing-masing itu berbau kasturi semerbak mewangi. Tentu najis mereka juga turut wangi sama, boleh dijual sebagai minyak wangi, meski kandungannya haram najis kera, tentu ramai sekali yang membeli dengan syarat, iklannya haruslah ada seorang adam, dengan wajahnya harus memancar nur kasih.
Berjalanlah ketua bangsa kera di hadapan barisan penuh megah gagah menunggu masa menghidu bau harum. Nah, telah kita khabarkan tadi prihal hati yang mana sifatnya itu amatlah ajaib, maka timbullah sifat kurang sabar dalam dada naib ketua bangsa kera. Menggumam dia perlahan menyebut-nyebut akan kasturi, tiada tertahan lagi.
Dadanya berdebur kencang, bagai kencangnya angin ribut meragut segala apa di hadapan. Tiada mahu lagi dia menunggu-nunggu akan bau, sudah tiada sabar lagi. Lagi pula saat itu naib ketua bangsa kera itu menghidap dia akan penyakit resdung, datang iri bersulam dengki dalam hati, tiada mahu kera yang lain mencicip bau kasturi terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
Kelakuan pelik naib ketua bangsa kera itu tiada apa bena dek sesiapa. Langsung niatnya diperkuat. Dirapatkan kedua belah tapak tangan kiri dan kanan, dikeluarkan akan hanya kedua-dua jari telunjuk sahaja seraya laju sekali dia mencucuk punggung ketua bangsa kera dua tiga kali dalam-dalam. Fikirnya mahu terus bau kasturi itu bocor menyimbah dirinya di belakang.
Melaung melalaklah akan ketua bangsa kera itu keras amat. Pecah seluruh belantara. Sedang yang lain pula menghidu bau busuk teramat keras dari punggung masing-masing tiada tertahan, hingga semuanya bertebaran lari memanjat pokok sana-sini.”
Tuan Puteri Shahrizad itu bingkas bangun memasang niat;
“Selepas ini, tiada lagi beta mahu melulut akan jenama ‘gadis sutera’ lagi. Beta mahu kasturi sahaja.”
Begitulah tuan-tuan telah kita babadkan sebuah hikayat bukan semata tentang kasturi, ada diselit ingatan yang lain andai ada yang sedar tiada nyedar. Akan si Aswad itu, tidaklah tercatit dalam mana-mana buku sejarah, atau buku teks di sekolah-sekolah, bahawasanya telah dianugerah sebidang tanah, beratus ekor kambing ternakan, jua yang paling mahal, dikahwinkan dia oleh Tuan Puteri Shahrizad akan kambing betina istana yang cantik jelita. Itu peri kononnya kambing kacukan pada zaman tuan-tuan yang diberi nama Dolly itu, keturunan Aswad entah yang keberapalah.
Wallahu a’lamu bis-sawab, wa ilaihil-marji’u wal-ma’ab.
No comments:
Post a Comment