MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Hikayat Kijang Berekor Kasturi Bahagian 1

Friday, 26 April 2013



     Ini cerita anak-anak. Kerna molek sekali anak-anak saat mahu beradu itu didendangkan dengan kisah yang penuh hikmah buat bekal nanti berkunjung ke daerah mimpi. Entah sakit pinggang atau sakit lutut tiadalah kita pasti kerna orang tua hari ini berlagu entah apa-apa sambil memeri cerita tentang patung kayu yang hidungnya konon boleh memanjang sedepa apakala berkata penuh dusta. Sungguh itu datangnya dari barat dunia yang mana isinya tiada lain tiada bukan buat menyesat kerabat. Bimbang sekali kita tatkala besar nanti, saat ketemu teman sepermainan di sekolah yang mana hidungnya mancung meninggi, atau terserempak anak-anak warga Nepal di perkampungan setinggan hadhari, langsung dijerit dengan panggilan Pinochio. Ishh, jadi malu nenek moyang nanti. Inilah mahu kita babadkan sebuah kisah tentang kasturi. Adapun kasturi itu bukanlah yang bertikam mengamuk segala dengan Hang Tuah, akan tetapi kasturi ini tuan-tuan menjadi ia jebat-jebatan, pengubat rasa resah, penghidup hati gundah, kerna wangi-wangian itu tiada lain menjadi ia santapan roh juga buat manusia. Nanti tiadalah dikatakan tolol andai anak-anak kita bertanya dari mana asalnya kasturi. Tiada perlulah kita mereka-reka cerita kononnya kasturi adalah ia sejenis tumbuhan yang ditarik dari alam kayangan setelah seorang anak muda yang berhingus tiada kering, memanjat pohon kacang yang tinggi langit menjulang.
     Ini kisah anak-anak, mahu kita kongsikan buat bapak-bapak jua. Andai ada silap salah kita menggulung lidah, mohon kita berlindung tiada lain kepada Allah sahajalah agar tiada kita mendapat dosa sejelepuk percuma. Terus kita sembahkan sebuah hikayat tentang kijang berekor kasturi, moga-moga dengannya nanti peroleh kita pahala mencurah, dapat kita ke syurga bertemu para nabi.
     Adapun suatu masa dahulu tuan-tuan, terdapatlah sebuah lembah kering kontang, dek kerana tiada hujan sudi menyimbah. Panasnya akan tanah lembah itu hinggakan gagak yang menapak tiada mampu kembali mengepak. Nah disebelah lembah tersebut adalah sebuah negeri yang besar sekali. Hendak diperikan sebesarmana negeri itu tiadalah kita mampu kerna lidah kita ini masing-masing tiadalah sebesar manapun. Cuma yang mampu dikerja dek lidah ini hanya membesar-besar sahajalah. Oleh asbab itu jua ramai sekali akan hamba gemar membesar diri yang hina berbanding membesar Allah yang esa.
     Ini lagi kita menambah, meski negeri itu agam lagi indah, sedih sekali kerna rakyatnya miskin-miskin, botak-botak kepala semuanya. Nun di belah hujung hiduplah seekor kambing putih menyendiri, beruzlah dia tiada mahu menambah dosa membotak-botak kepala dengan alasan kononnya mualaf itu segala salah tiada menjadi punah. Jua tiada mahu dia membuka baju menunjuk pekung di serata dada berjahit huruf ‘S’ yang maksudnya entah apa. Entah ‘S’ itu Syaitan barangkali, na’udzubillah.

Adapun kambing ini ronanya tiada lain, warnanya putih gebu lebih putih dari susu yang putih memutih. Digelar oleh segala rakyat akan kambing putih ini dengan nama Aswad sahaja. Dek kerana melaratnya rakyat, langsung timbul nekad dalam hati nurani Aswad, mahu ia menjadi pengembala kambing biri-biri.
     Maka pada suatu hari yang panas, sedang Si Aswad mengembala di padang yang luas, jauh-jauh dilihat kelibat seorang perempuan berjalan kearahnya malas-malas. Setelah lama memerhati dalam-dalam, ketahuilah oleh Aswad bahawasanya dia itu didatangi oleh Tuan Puteri Shahrizad seorang diri tiada ditandu diiring segala orang istana.
     Duduk Tuan Puteri Shahrizad pada seketul batu besar, sambil tangan memegang kepala, kononnya sudah pusing dek panahan cahaya panas tajam meruncing. Apakala melihat kelakuan dibuat-buat itu lantas melimpas dalam jiwa kecil Aswad akan kata-kata tiada mulia. Terdetik dalam hatinya itu;
     ‘Ada aku kisah!’
     Namun terus sahaja dia beristighfar memohon ampun kepada Tuhan kerana salahnya dia mengungkap kata, meski tiada yang mendengar di dalam dada.  Dihampirinya akan Tuan Puteri Shahrizad itu mengangkat sembah. Dek melihatkan perbuatannya gedik-gedik itu mendapat perhatian, meluap-luap gembira dalam hati Tuan Puteri itu.
     “Ampun tuanku, apa gerangan tuanku bermuram durja. Apa cutikah badut-badut di istana?”
     Terasa diri bagai dicucuk-cucuk dengan lidi.
     “Ish, Maharaja Badut beta cuti. Lagi pula lawaknya entah apa-apa, naik geli beta melihat badut Nepal terkangkang-kangkang sengaja memakai seluar rabak berlubang. Bukan beta tiada bayar gaji buat membeli kain yang baru.”

     “Habis, tuanku melihat aurat lah gamaknya?”

     Langsung terkulat-kulat Tuan Puteri Shahrizad menahan malu.

     “Nanti dituduh pula beta kufur nikmat. Ah, tiada gunanya beta berbasi-basi lagi. Adapun tujuan utama hadir beta ke padang kamu ini Aswad, ingin sekali mendengar cerita kamu. Cerita kamu yang dulu-dulu itu gemar sekali baginda sultan mendengar sebelum beradu. Sampai habis semuanya diperi langsung terlupa hadir kemari.”

     Itulah tuan-tuan sekalian, sungguh manusia itu mudah lupa. Dahulu saat sukar sebelum kaya selalu niatnya mahu menderma, manusia mudah lupa. Dahulu saat sebelum menunai haji selalu berniat melitup kepala, manusia mudah lupa.
     Termangulah Tuan Puteri Shahrizad itu sambil melayang pandang kearah luas padang, langsung bermadah tiada kena bunyinya;
     ‘Indah mata memandang, indah lagi bahu memikul.’
     Tiada dapat ditahan dalam dada Aswad saat itu mahu membantu apa yang daya. Sudah dididik dia sedari kecil muhabat akan kedamaian. Tiada mahu berkesumat. Perlahan dilabuh punggung nan putih disebelah Tuan Puteri yang masygul menyendiri.
          “Marilah tuanku kita peri sesuatu. Kasad kita tiada lain mahu langit terus mendatar, tiada rebah menyembah bumi. Akan tetapi yang mahu digebang ini bukan sebarang kisah, tuanku. Adapun kisahnya itu janganlah dilayangkan pada yang lain, kerna kisah sebegini untuk kita-kita aja, tuanku.”
     Terus Tuan Puteri Shahrizad bangkit, menari terkinja-kinja seperti ungka tiada sedar diri buat seketika. Sudah puas dan datang semput barulah dia menadah tangan ke muka langit menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, beberapa kali.
Menggeleng-geleng kepala Aswad hampir sahaja mahu terteleng. Sungguh perangai Tuan Puteri tiada senonoh. Pendek kata, panjang bicara, boleh sahaja dianggap Tuan Puteri ini menghidap penyakit cacat akal yang kekal dek tabiat yang suka main sandar-sandar. Suara pula kecil macam anak-anak belum tahu belajar.
     “Tuanku, ini mahu kita ingatkan kisah ini kisah kaum kita. Namun janganlah dipandang hina akan binatang kerna binatang itu boleh jadi lebih mulia daripada manusia.”
     Angguk-angguk Tuan Puteri, entah faham entah tidak.
    “Suatu zaman dahalu, lama dahulu, moyang tuanku pun masih belum dilahirkan saat itu. Di dalam rimba nan luas menebal, hidup rukun berbilang bangsa binatang. Maka telah datanglah ketentuan Tuhan, melantik Nabi Sulaiman a.s, sebagai rasul menyampai kebenaran. Besar sekalilah kerajaan baginda itu. Bertebaran berita tersebut sampai kepada segenap lapis hidupan, baik bangsa manusia, baik bangsa jin, juga bangsa haiwan. Sungguh Nabi Sulaiman a.s itu diberikan keistimewaan oleh Allah s.w.t, dapat baginda berbicara dengan haiwan, dapat jua baginda mengarah kaum jin yang sukar dijinakkan.
     Seusai berita diterima, beratur berbarislah bangsa haiwan berkumpul mahu menuju ke istana Nabi Sulaiman a.s, dengan satu niat, menyatakan bai’at, jua menyembah rasa syukur diiring ucapan gembira di hati.
     Adapun tuanku, adalah bangsa kijang dan bangsa kera itu tiada awal mahu menuju ke istana. Terasa di dalam hati bahawa diri sebagai kijang itu tiadalah sebaik mana mahu berhadapan dengan baginda. Sugullah di hati kaum kijang itu, lama sekali memendam hajat dan hasrat mahu ke istana tetapi ditahan.
     Sungguh tuanku, hati itu dinamakan hati oleh Tuhan kerna sifatnya yang berbalik-balik. Ditiupkan oleh Allah kepada hati, terus berubah bangsa kijang sekalian itu mahu menuju ke istana tiada semena-mena. Dalam perjalanan menempuh segala tabal hutan, tiada lain hanyalah mengharapkan agar kedatangan bangsa mereka itu nanti disambut baik oleh baginda Nabi Sulaiman.      
     Seharian berjalan, peluhnya bukan sedikit, puas mendaki cangkat dan bukit. Tiba jualah di istana Nabi Sulaiman.”

Bersambung...

No comments:

 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk