MEMBACA AL-QURAN || MEMAHAMI AL-QURAN || MENGAMALKAN ISI AL-QURAN

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Sunday, 23 December 2012




SECAWAN TEH DINGIN, SEBUAH BUKU YANG HANGAT : 

"Nota hati seorang lelaki"


“Carilah sesuatu yang luar biasa di sebalik buku yang biasa-biasa ini!”
- Ust. Pahrol Mohd. Juoi. -


Seusai sampai di rumah, terus saya mencapai pena biru menconteng beberapa huruf melambangkan singkatan nama saya pada kulit dalam buku ini. Tidak lupa ditulis tarikh dan juga tempat saya membelinya. Buku hebat yang berjaya menambat nafsu saya yang selalu ketandusan kata-kata tarbiyah dari penulis kegemaran ini, Ustaz Pahrol! Buku yang tidak terlalu tebal (265 muka surat) membuatkan saya yakin saya mampu untuk menghabiskan pembacaan lantas menghadam segala isi dalamnya.

            Melihat tajuknya sahaja, buat hati ini tertarik. Bila membaca sinopsis di belakang pula membuatkan jasad ini terus menggenggam buku tersebut dan melangkah menuju ke kaunter bayaran. Saya sangat nak tahu tentang hati seorang lelaki. Almaklumlah hari-hari saya memang selalu bersama insan bernama lelaki. Baik seorang ayah, empat orang abang, tiga orang abang ipar, rakan sekuliah jangan ceritalah ramainya ye tak? Cantik susunan yang dipersembahkan oleh penulis. Saya betul-betul memujinya. Penulis telah membahagikan isi buku kepada empat kategori. Pertama : Nota Hati Seorang Anak (lelaki). Kedua : Nota Hati Seorang Suami. Ketiga : Nota Hati Seorang Ayah. Keempat : Nota Hati Seorang Da’ie.

Memetik salah satu daripada kisah yang ada, penulis telah menceritakan dimana seorang anak lelaki itu sering pulang ke kampung menjenguk kedua ibu bapanya. Namun di situ diceritakan bahawa ayah kepada anak lelaki tersebut sering meminta duit daripada anak lelaki tersebut.

“Ada duit tak? Minta ayah sedikit….” Namun, disebalik kesempitan hidup anak lelakinya yang masih dalam proses membina keluarganya itu masih sedia menghulur meskipun hanya sekeping not hijau bernilai RM 5 kepada ayahnya. Namun dia tetap berasa tidak sedap kerana hanya mampu menghulur sejumlah kecil sahaja kepada ayahnya. Maklumlah, anak-anaknya masih kecil, pulang ke kampung pun hanya cukup-cukup duit tambang sahaja. Hal ini telah di adukan pada ibunya, lantas ibunya membalas “Berikan saja..”. walaupun hatinya serba salah dihulur juga meskipun jumlahnya tidak seberapa.

            Lama kelamaan pada pemerhatiannya, setiap kali sebelum dia pulang bapanya akan memulangkan semula not hijau pemberiannya tadi dengan menyelitkan wang itu ke dalam saku baju anaknya. Malah nilai wang itu telah bertambah!. Dari sekeping kepada dua keping malah kadang-kadang melebihi daripada pemberiannya.

Semakin lama kehidupan anak lelaki tadi semakin kukuh dari segi ekonominya. Tabiat ayahnya masih juga sama, sering meminta duit sekiranya anak lelaki itu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua itu. Malah pada setiap kali dia memenuhi permintaan ayahnya itu, pada setiap kali itu jugalah ayahnya membalas dengan menyelitkan wang tadi dan tambahannya ke dalam poket anak-anaknya. Daripada pemberiannya hanya sekeping RM 5 kepada jumlah yang semakin besar ayahnya tetap melakukan perkara yang sama. Meminta, memulangkan dan kadang-kadang memberi lebih. Syukur pada Allah, dari pada pulang ke kampung menaiki bas sehinggalah sudah berkereta kecil sepadan kemampuannya malah beberapa tahun sesudah itu anak lelaki tadi mampu menukar kepada kereta yang lebih besar dan selesa buat keluarganya.

            Nah, dapat saya rumuskan tentang keberkatan pemberian anak lelaki tadi yang mana akur dengan permintaan ayahnya. Rezeki yang sedikit itu lebih berkat jika dikongsikan kepada yang lain apatah lagi dalam memenuhi permintaan seseorang lebih-lebih lagi ayah kita.

************************************************************



“Seorang anak hanya akan menyedari erti sebenar kasih kedua-dua ibu bapanya apabila dia sendiri mempunyai anak. Jangan sesekali memungkiri kasih kedua-dua ibu bapa yang telah tua, nanti anak-anak akan dewasa dengan memungkiri kasih kita” – penulis.

Sungguh mendalam huraian dan rungkaian yang dipersembahkan oleh penulis. Kadang-kadang saya terpaksa akui bahawa bait kata-katanya buat hati ini menangis dari dalam. Aura keinsafan segera menyelinap ke seluruh rongga kalbu ini. Indah sungguh isinya.       

Nota Untuk Ayah : Hadiah terbaik dari seorang ayah untuk anak-anaknya ialah dengan mencintai ibu mereka. Cintai isteri maka anak-anak akan cintai kita. Jangan sesekali memisahkan antara kasih anak dan ibu, nanti putus pula kasih anak dan bapa!-penulis.

            Kisah kedua yang tertarik untuk saya berkongsi di sini adalah daripada bahagian Nota Hati Seorang Ayah. Kisah berjudul “Kasih Ibu Tidak Boleh Diganti” pada muka surat 93. Kali ini penulis membawa kita menerjah kisah seorang ayah, bersama anak lelakinya yang masih kecil. Ketika mereka berjalan di kawasan pasar pagi, mereka terlihat seekor anak kucing yang lemah dan tidak bermaya. Setelah membuat keputusan, mereka sepakat untuk membawa pulang anak kucing tersebut untuk diberi perlindungan dan keselesaan. Sebelum melangkah masuk ke kereta, datang ibu kucing tersebut dan seekor lagi anak kucing yang mungkin merupakan saudara kucing yang sedang dikendong oleh kanak-kanak lelaki tadi.

 Setelah sedikit berbincang, si ayah lantas membuat keputusan untuk membawa pulang anak kucing yang berwarna kecoklatan tadi. Hal ini kerana kondisi kucing itu lebih lemah dan tidak bermaya jika dibandingkan dengan yang seekor lagi. Meskipun si ibu kucing seakan-akan sedih apabila melihat anaknya dibawa pergi namun, si ibu kucing tetap tidak berdaya membuat apa-apa. Niat si ayah adalah untuk memelihara kucing tadi. Dia mampu sediakan tempat perlindungan yang selesa dan selamat, makanan kucing yang lebih berkhasiat malah penjagaan kesihatan kepada kucing terbabit. Selang beberapa hari, kondisi Si Comel (kucing tadi telah diberi nama) masih dalam keadaan asal. Matanya tertutup, badannya lemah tidak bermaya. Masuk hari ke-4, jam 2 petang, si ayah mendapat panggilan dari anak lelakinya yang menangis, katanya Si Comel telah pun mati.

Apakan daya hayat Si Comel tak panjang. Lantas si anak bertanya kepada ayah. “..ayah rasa, saudara Si Comel tu, mati jugak ke?” dengan yakin si ayah menjawab, “Di rumah yang mewah dengan makanan kucing pun Si Comel mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar…..ayah rasa mati juga.”

Dua bulan berlalu, si ayah dan anaknya kembali ke pasar yang sama. Dalam pada masa itu, terlihat dua ekor kucing. Si ibu, dan si anak. Pastinya itu saudara Si Comel. Ia telah sihat, gemuk dan lincah. Tiba-tiba ayah tadi berasa kesal dengan tindakan dan kata-katanya yang lepas. Ternyata perbuatan dia memisahkan Si Comel dengan ibu kandungnya itu merupakan satu kesilapan yang besar.

Meskipun dalam keadaan serba kekurangan, ibu masih mempunyai aura yang mampu memberikan keselesaan dan rasa selamat pada anak. Itu baru binatang, apatah lagi kita manusia yang berakal ini. Kasih ibu itu tiada pengganti. Si ayah benar-benar malu dan insaf dengan perbuatannya. Dia akui tindakkan memisahkan anak kucing tadi bukanlah sesuatu yang resional. Lantas si ayah berkata kepada anak dan isterinya “Hadiah terbaik seorang ayah kepada anaknya ialah dengan mencintai ibu kepada anak tersebut..siapa lagi kalu bukan isterinya!”

Dalam petikan kisah ini menceritakan bahawa betapa si ayah tadi tidak mampu menggantikan kasih seorang ibu, walaupun hanyalah kepada seekor kucing. Betapa kemewahan, keselesaan dan kesempurnaan itu kadang-kadang tidak boelh menggantikan apatah lagi membeli harga kasih dan sayang seorang ibu kepada anak-ankanya.

Sebak hati ini dengan pendekatan yang digunakan, dengan bahasa yang mudah difahami, makanya maksud penulisan itu sangat cepat dihadam dan meresap ke sanubari. Lagi banyak kisah-kisah yang dibawa oleh penulis dalam mengkategorikan perasaan, nilai dan perspektif dari pada jiwa insan yang bergelar lelaki. Bagi diri ini, pertamanya apabila membaca buku ini saya berasa amat berterima kasih kepada ayah saya terutamanya, berkat susah payah dan penat lelah dia makanya saya masih bernafas dan sempat sampai dan berpijak di bumi UKM ini.

Akhir kalam dngan kesempatan dan ruang yang terbatas, sudah tentu tidak mampu bagi saya meneruskan ulasan buku ini. Tuntasnya, buku ini amat bermakna pada saya, kesannya mendalam bagi kehidupan saya yang lepas juga pada kehidupan yang mendatang kerana hakikatnya Allah s.w.t telah menciptakan Lelaki itu pada sifat dan kekuatanya yang tersendiri di muka bumi ini, seharusnya mereka sedar, faham dan aplikasikan selurunya ini dalam hayatnya. Bahan bacaan ini amat sesuai bagi semua, baik lelaki mahupun perempuan kerana hidup kita saling melengkapi. Untuk lelaki diadaptasi, bagi perempuan biar lebih memahami. Wallahu’alam J

No comments:

 

Ahli Jawatankuasa Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar

Sesi 2014/2015

Yang DiPertua

Muhammad Khairul Ghazi Bin Suhaili

Fakulti Pengajian Islam

Naib Yang DiPertua I

Muhsin Bin Abllah

Fakulti Pendidikan

Naib Yang DiPertua II

Afiqah Binti Amil Husin

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Setiausaha

Nurezzah Binti Maulud-Din

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Naib Setiausaha

Wan Suhaidashima Binti Wan Jaafar

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Bendahari

Haulah Binti Razali

Fakulti Pengajian Islam

Naib Bendahari

Muhammad Noor Faez Bin Ahmad

Fakulti Ekonomi & Pengurusan

Publisiti

Muhamad Faisal Bin Mohd Sukerna

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimin

Muhammad Khidir Bin Jarawi

Fakulti Pengajian Islam

Wakil Muslimat

Siti Nur Aishah Binti Ahmad

Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Followers

Become a Fan

kkk kkk