SECAWAN TEH DINGIN,
SEBUAH BUKU YANG HANGAT
"Tuhan tak pernah memaksa"
TUHAN TAK PERNAH MEMAKSA
Karya Dr. Abdul Aziz Bin Ahmad
Buku berjudul “Tuhan Tak Pernah Memaksa” adalah karya Dr. Abdul Aziz Bin Ahmad. Buku ini adalah berkisar tentang tentang sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang pendakwah dalam menghadapi kepelbagaian persekitaran dalam kehidupan seharian.
Tugas menyebarkan dakwah adalah satu tugas yang sangat mulia, malah menjadi tanggungjawab setiap muslim menyampaikan kebaikan Islam kepada saudaranya yang lain. Malangnya, ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui cara-cara menyebarkan dakwah mengikut landasan dan kaedah yang tepat. Kita sebagai pelajar universiti yang menuntut ilmu di bumi Allah ini juga tidak terkecuali untuk melaksanakan amanah dakwah ini yang telah diamanahkan oleh Allah kepada semua hambanya.
Sebagai pelajar yang terdiri dari pelbagai bidang pengajian, kita mestilah mempunyai sifat seorang pendakwah dalam diri kita. Dalam kehidupan seharian kita, kita perlulah sentiasa berdakwah antara satu sama lain. Sebagai contoh, kita berdakwah kepada rakan sebilik kita, rakan sekursus dengan kita, dan tidak salah juga, kita berdakwah kepada rakan-rakan yang berlainan agama dengan kita, dengan cara menerangkan secara perlahan-lahan tentang Islam kepada mereka agar mereka tertarik kepada Islam.
Dengan adanya buku ini, dapat menerangkan kepada kita berkaitan sifat-sifat yang perlu ada kepada seorang pendakwah . Sifat-sifat ini perlu dimiliki oleh seorang pendakwah bagi menjadikannya seorang pendakwah yang berjaya menyampaikan dakwah kepada orang lain.
Antara sifat yang perlu ada ialah:
1.0 IKHLAS BERAMAL KERANA ALLAH.
Seorang pendakwah haruslah mengikhlaskan perbuatannya hanya kerana Allah. Hal ini demikian kerana, hanya amalan yang ikhlas sahaja yang akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.
2.0 MENDIDIK DAN MEMPERBAIKI JIWA
Antara perkara penting yang perlu ada pada seorang pendakwah adalah berusaha untuk memperbaiki jiwanya sendiri dengan cara beribadah kepada Allah S.W.T. Sifat sentiasa mengecam orang lain sahaja adalah satu sifat yang salah bagi seorang pendakwah. Hal ini demikian kerana, seorang pendakwah yang baik adalah pendakwah yang sentiasa mengecam diri orang lain, di samping tidak lupa untuk mengecam diri sendiri.
3.0 BERILMU DAN WARA’
Seorang pendakwah mestilah memiliki pengetahuan mengenai apa yang dilakukannya dalam menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Ilmu adalah bekal utama seorang pendakwah. Pelbagai ilmu perlu dikuasai oleh seorang pendakwah samada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.
Wara’ adalah perkara penting bagi seorang pendakwah, Hal ini demikian kerana wara’ adalah dasar untuk ibadah diterima oleh Allah, sekaligus menjadi pengantar untuk seseorang menjadi zuhud. Oleh itu, seorang pendakwah perlulah bersifat wara’ bagi menjadikan dakwahnya diterima oleh orang ramai.
4.0 KASIH SAYANG, DAN PEMAAF
Metod terbaik yang digunakan oleh para Nabi adalah memulai dakwah dengan kasih sayang, kelembutan, berhikmah,nasihat ke arah kebaikan dan memaafkan orang lain. Metod ini akan membuatkan individu yang menerima dakwah berasa disayangi, sehingga dengan sendirinya akan membuka hati mereka untuk menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Justeru, metod yang digunapakai oleh para Nabi ini, perlu dicontohi oleh pendakwah-pendakwah masa kini.
5.0 BERKEYAKINAN DIRI, BERFIKIR MENDALAM DAN TIDAK TERGESA-GESA
Antara sifat yang harus dimiliki seorang pendakwah ialah berkeyakinan diri, berfikiran mendalam dan tidak tergesa-gesa. Ketika menjalankan dakwah, seorang pendakwah perlulah yakin menyampaikan dakwahnya. Pendakwah juga perlu berfikir dengan mendalam terlebih dahulu sebelum bertindak dan tidak boleh tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu tindakan.
6.0 SABAR
Sifat yang paling penting yang mesti dimiliki oleh pendakwah adalah sabar. Hal ini demikian kerana, seseorang pendakwah perlu menghadapi segala kesakitan dan cubaan samada cubaan jiwa, raga dan harta ketika menyampaikan dakwah. Cabaran-cabaran ini perlu dihadapi dengan penuh kesabaran kerana sesungguhnya usaha dakwah itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah yang memerlukan kesabaran yang tinggi
7.0 BERAKHLAK MULIA DAN MENJAUHI SIFAT MARAH
Sesungguhnya, antara sifat seorang pendakwah adalah berakhlak mulia. Dengan adanya akhlak mulia yang dimiliki, akan menyebabkan penerima dakwah mencontohi akhlak terpuji yang dimiliki pendakwah. Seseorang pendakwah juga mestilah sentiasa menjauhi sifat marah. Hal ini demikian kerana, dalam menjalankan usaha dakwah, pastinya akan ada pelbagai cabaran dan dugaan yang boleh menyebabkan seseorang pendakwah menjadi marah. Oleh itu, pendakwah perlulah mengawal emosi dan sifat marahnya agar dirnya tidak ditakuti oleh orang ramai.
8.0 TIDAK MEMBUKA AIB
Seseorang pendakwah perlulah sentiasa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada seluruh manusia. Pendakwah tidak boleh mengorek rahsia, mencari kesalahan orang lain dan pendakwah juga tidak boleh membuka aib individu yang didakwahnya. Segala keburukan dan kesalahan orang yang didkwahnya, perlulah disimpan agar tidak diketahui oleh orang lain.
Konklusinya, usaha dakwah bukanlah satu perkara yang mudah. Hal ini demikian kerana, pelbagai rintangan perlu dihadapi oleh seseorang pendakwah. Walaubagaimanapun, kita janganlah takut untuk menjadi seorang pendakwah, kerana menjadi pendakwah adalah satu kewajiban bagi setiap manusia.
Justeru, dengan adanya buku ini, dapatlah memberikan kita input-input berguna bagi menjadikan diri kita seorang pelajar Universiti pendakwah yang berjaya berdakwah kepada orang lain. Walaupun tujuan utama kita di Universiti ini adalah untuk menuntut ilmu, tetapi, kita jangan lupa bahawa kita juga ada tanggungjawab untuk berdakwah kepada orang lain. Usaha dakwah ini adalah satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah S.W.T kepada semua hambanya, tidak mengira usia dan tidak mengira taraf pendidikan
Oleh itu, setiap pelajar khususnya, dan setiap insan di muka bumi ini amnya ,haruslah mempunyai buku ini. kerana, pelbagai ilmu yang terdapat di dalam buku ini boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita bagi menjadikan diri kita seorang pelajar Universiti pendakwah yang berjaya berdakwah kepada semua manusia.
No comments:
Post a Comment